2 Kelab Luar Negara Terus Rebut Luqman

KUALA LUMPUR: Kelab dari Belgium, KV Kortrijk tampak perlu ‘berperang’ untuk mendapatkan tandatangan penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin selepas khidmat pemain itu turut diintai pasukan dari Bundesliga, Bayer Leverkusen.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh ejennya, Lionel Foy kepada BH Sukan, semalam.

Lionel mengesahkan dia ketika ini sedang mengadakan rundingan bersama KV Kortrijk dan Leverkusen yang menyatakan minat dengan dia tidak menolak kemungkinan beberapa kelab lagi akan turut ‘meminang’ bekas pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu.

“Dua pasukan ini menunjukkan minat yang mendalam dan bersedia meletakkan tawaran secara rasmi kepada Luqman. Mungkin juga ada beberapa pasukan akan melakukan perkara yang sama selepas ini.

“Dia (Luqman) belum lagi membuat keputusan. Kami akan meneliti semua cadangan yang ditawarkan dan selepas itu, barulah kami akan putuskan mana yang terbaik untuk dia dan keluarganya.

“Kalau boleh, kami mahu selesaikan perkara ini pada bulan ini juga,” katanya.

Sebelum ini, Lionel mengesahkan beberapa pasukan termasuk dari kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) mengintai khidmat anak kelahiran Kelantan itu namun dia enggan mendedahkan pasukan yang berminat dengan pemain terbabit.

Sebagai rekod, Luqman ditawarkan kontrak bermain dengan KV Kortrijk oleh pemilik kelab itu yang juga usahawan terkemuka dari Malaysia, Tan Sri Vincent Tan September lalu dan akan menyertai kelab itu pada Mac lalu apabila usianya genap 18 tahun.

Selepas gagal mengikut perancangan ditetapkan kerana beberapa kekangan, laluan Luqman ke Eropah kembali terbentang selepas dia mendapat panggilan daripada KV Kortrijk untuk menyertai mereka, minggu lalu.

Malah, perpindahannya juga tampak direstui Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang menyatakan pihaknya akan melepaskan Luqman secara percuma meskipun pemain itu memiliki kontrak bersama mereka.