Ada Masa Kurang 3 Minggu

KUALA LUMPUR: Apa nasib Liga Malaysia (Liga M) yang sepatutnya berlangsung 26 Februari ini selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tujuh buah negeri terus dilanjutkan sehingga 4 Februari ini?

Berdasarkan kenyataan Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi sebelum ini, aksi Liga M kemungkinan besar tidak dapat diteruskan seperti yang dijadual sekalipun PKP yang berakhir pada 26 Januari bersambung hanya untuk dua minggu.

Yusoff menjelaskan, lanjutan PKP akan menyebabkan pasukan hanya memiliki masa kurang daripada tiga minggu sebelum menghadapi perlawanan pertama liga dan lebih membimbangkan apabila pasukan turut tidak dapat menjalani latihan sepanjang tempoh PKP.

Justeru, berdasarkan perkembangan semasa, mungkinkah Liga M sekali lagi akan menjadi ‘mangsa’ sama seperti pada musim lalu sehingga menyebabkan Liga Super dan Liga Perdana hanya berlangsung satu pusingan?

Mengulas mengenai perkara itu, pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa melihat adalah tidak wajar sekiranya industri bola sepak berterusan ‘dipukul’ dengan pelaksanaan PKP dan terpaksa dihentikan seketika susulan peningkatan kes COVID-19 yang dilaporkan setiap hari.

Justeru, Sadek mengharapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu lebih adil kepada industri bola sepak dan memberi ‘layanan’ sama rata seperti industri lain yang tetap dibenarkan beroperasi dalam PKP yang sedang dilaksanakan ketika ini.

“Industri bola sepak sentiasa menjadi yang pertama ditutup setiap kali PKP, namun kita lihat industri lain masih dibenarkan beroperasi. Industri bola sepak sebenarnya sama juga seperti industri lain di mana mereka juga sedang bekerja.

“Jika saingan Liga M ditangguhkan lagi, ia memberi impak yang tidak diingini kepada pasukan seperti yang sudah dirasai oleh mereka pada musim 2020. Dengan pengalaman mendepani COVID-19 selama lebih 12 bulan, sudah pasti mereka lebih arif mengenai pengurusan risiko untuk COVID-19.

“Pasukan bola sepak pun ada prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dan jelas berbanding industri lain. Mereka ada pasukan perubatan sendiri yang pasti sentiasa memantau kesihatan pemain. Malah mereka boleh mengikuti gelembung sukan seperti yang digunakan bagi sukan-sukan lain.

“Dengan pasukan kebangsaan pun dibenarkan berlatih, saya harap pasukan Liga M pun mendapat kebenaran sama untuk berlatih. Jika tidak, mereka tidak dapat mengharungi pramusim dengan sempurna sekali gus meningkatkan risiko kecederaan,” katanya.

Sumber : BH