Ahli Parlimen minta semak pembatalan Piala Malaysia

Kuala Lumpur: Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu perhalusi semula keputusan untuk tidak membenarkan saingan Piala Malaysia 2020 dilangsungkan semula berikutan kejohanan itu hanya berbaki beberapa perlawanan sahaja lagi.

Steven Sim (PH-Bukit Mertajam) berkata, kerajaan boleh menetapkan perlawanan diadakan di negeri hijau seperti Kelantan, Pahang dan Perlis serta dianjurkan tanpa penonton.

“Pemain boleh diasingkan dalam gelembung sukan sepanjang musim selain pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang lain,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan) di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Sim yang juga bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan turut mencadangkan geran khas one-off hingga RM100,000 diberikan kepada persatuan sukan kebangsaan dan geran aktiviti untuk persatuan sukan lain di semua peringkat.

Ini katanya bagi memastikan kesinambungan pembangunan sukan selain peruntukan RM3 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) untuk memperluas jaringan keselamatan dan kebajikan bekas atlet negara.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/642740/ahli-parlimen-minta-semak-pembatalan-piala-malaysia