Air mata Farah

Impiannya untuk mara ke peringkat akhir dalam acara individu all around tidak kesampaian namun ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi berpuas hati dengan apa yang dilakukannya.

Sekurang-kurangnya hasrat untuk beraksi di temasya Olimpik berjaya direalisasikan, kali ini di Tokyo dengan aksi memukau di Pusat Gimnastik Ariake.

Namun atlet berusia 27 tahun itu mengakui pendaratan kurang kemas dalam acara palang tidak sejajar sedikit merencatkan kutipan matanya.

Farah menamatkan saingan di kedudukan ke-68 dari 98 peserta selepas mengumpul 48.565 mata dengan hanya 25 gimnas terbaik mara ke peringkat akhir.

Dia yang mengalirkan air mata sejurus selepas tamat saingan mengucapkan terima kasih di atas sokongan semua dan ia begitu bermakna bagi dirinya.

“Saya bersyukur dapat bertanding di sini. Saya sudah melakukan yang terbaik dan berpuas hati dengan prestasi ini. Tapi saya akui sedikit kecewa dalam aksi palang tidak sejajar apabila pendaratan tidak berapa bagus sangat. Apapun saya bersyukur,” katanya.

Pada aksi yang berlangsung semalam, Farah memulakan aksi dalam disiplin palang tidak sejajar hanya maraih 11.600 mata dan mendapat 11.566 untuk batang titian.

Dia kemudiannya turun dalam acara kegemarannya iaitu senaman lantai meraih 12.333 mata dan mata tertinggi diperoleh dalam acara melombol dengan catatan 13.166 mata.

Farah Ann layak ke Sukan Olimpik selepas mencatat keputusan memberangsangkan pada Kejohanan Gimnastik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman.

Beliau muncul gimnas ketiga Malaysia layak ke Olimpik selepas Au Li Yen pada edisi 2000 (Sydney) dan Shu Wai pada 2004 (Athens).

Selain Farah Ann, turut ke pentas Olimpik Tokyo, gimnas lelaki negara Jeremiah Loo Phay Xing yang juga membuat penampilan sulung selepas layak dalam acara individu all around lelaki bulan lalu.

Sumber : HM