Akan Bincang Dengan Pihak Pengurusan – Sathia

JOHOR BAHRU: Salah saya! Itu reaksi pengendali Selangor, B Sathiananthan selepas pasukan bimbingannya dibelasah teruk Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-6 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, dekat sini, semalam.

Beliau yang jelas sugul dengan kekalahan itu menegaskan silap percaturan menjadi punca mereka mudah dibelasah oleh juara liga enam kali berturut-turut itu. Ini termasuk menurunkan pemain yang belum bersedia berada dalam skuad utama.

“Pada babak pertama saya terpaksa keluarkan Safuwan (Baharudin) dan memasukkan pemain muda. Jelas posisi tengah goyah tanpa Safuwan dan tidak dinafikan aksi babak pertama kita berjaya beraksi dengan baik.

“Namun apabila gol pertama JDT hadir dihujung babak pertama dan disusuli sepakan penalti di awal babak kedua, tak tau lah …ada orang kata bukan penalti…tapi nak buat macam mana. Bermula dari situ permainan pemain kita mula goyah.

“Malah gol ketiga JDT, bagi saya mustahil kerana berada pada sudut sukar. Namun penyerang lawan mampu jaringkan gol. Jaringan itu bagaikan menjatuhkan lagi semangat kami dan saya akui selepas gol ketiga itu dan sepanjang babak kedua, kami hilang konsentrasi dan pasukan JDT menguasai permainan,” katanya selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, JDT memperoleh gol menerusi Safawi Rasid pada minit ke-45 dan ke-49 selain Diogo (64), Gonzalo Cabrera (67) dan Ramadhan Saifullah (72 dan 75) manakala gol tunggal Selangor melalui Rufino Segovia pada minit ke-81.

Mengulas lanjut, Sathiananthan menegaskan kemasukkan Rufino Segovia pada babak kedua selepas tidak beraksi dalam kesebelasan adalah berpandukan sesi latihan kerana keutamaan tersenarai dalam skuad utama berdasarkan kesungguhan setiap pemain pada sesi latihan

Malah beliau juga menganggap jika dirinya ahli silap mata yang mampu mengenal pasti pemain yang bagus dan berupaya beraksi dalam skuad utama, sudah tentu masalah menyenaraikan berisan pemain terbaik tidak timbul.

“Saya pilih pemain untuk di bawa menentang JDT berdasarkan latihan. Melihat kita tidak berfungsi di posisi serangan maka saya memperjudikan nasib memasukkan Rufino. Ingin saya katakan pemain yang bermula awal dan pemain masuk sebagai pemain gantian amat berbeza.

“Untuk aksi seterusnya kami akan berdepan UiTM FC. Ada baki tiga perlawanan lagi dan harus mengutip mata maksimum. Apa pun saya kena bincang dengan pihak pengurusan bagi membuat persiapan rapi mengharungi baki perlawanan itu,” kata Sathiananthan.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/09/733415/silap-percaturan-punca-selangor-dibelasah-jdt