Antara Faktor Beliau Kekal

JOHOR BAHRU: Juara Liga Super tujuh musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan kembali menjalani latihan bagi persiapan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2021 bermula awal bulan depan.

Pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, latihan akan bermula sebaik sahaja pemain pulang daripada bercuti dengan persiapan untuk musim depan sudah dirangka dengan rapi bagi memastikan setiap perancangan berjalan lancar.

“Bukan sahaja faktor kecergasan yang dititik beratkan, malah ia juga membabitkan kekuatan mental dan emosi pemain. Semua ini mampu menaikkan semangat setiap pemain meneruskan latihan selepas kita dilanda dengan pandemik COVID-19.

“Situasi yang dialami sekarang bukan sahaja di negara ini malah seluruh dunia sehingga menjejaskan perancangan kita musim ini. Saya berharap ia tidak menganggu latihan yang dirancang untuk liga musim depan,” katanya semalam.

Pada musim ini, skuad Harimau Selatan merangkul kejuaraan liga untuk musim ketujuh berturut-turut selepas mengumpul 29 mata dan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas menangi sembilan daripada 11 perlawanan.

Paling manis, jurulatih kelahiran Mexico itu membuktikan kewibawaan selaku pengendali skuad Harimau Selatan apabila melakar hatrik membimbing pasukan itu menjuarai liga dan kejayaan itu menyaksikan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyambung kontraknya.

Ditanya mengenai pasukan yang bakal memberi cabaran kepada JDT dalam saingan musim depan, Mora menegaskan bukan sahaja saingan pada musim depan pasukan bimbingannya bakal berdepan cabaran sengit namun pada musim ini juga JDT diberi tentangan tatkala saingan liga dipendekkan hanya satu pusingan akibat penularan pandemik COVID-19.

Sumber-https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/12/766474/jdt-mulakan-latihan-awal-bulan-depan