Antara Faktor Melaka United Kalah Teruk

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui masih ada kelemahan yang harus diperbaiki walaupun menang 4-0 ke atas Melaka United pada aksi tertunda Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Bidoglio berkata, permainan tampak begitu perlahan pada awalnya tetapi mula meningkat selepas mendapat gol pertama.

“Apabila kami berjaya merungkai jaringan, rentak permainan sudah mula meningkat dan pemain mula memberi tekanan terhadap pasukan lawan yang sudah mula hilang konsentrasi untuk.

“Kami mula bergerak bebas mengikut perancangan taktikal yang dibentuk bagi perlawanan itu. Malah, kami juga kerap mengawal permainan dan mengelak daripada terbabit dalam beberapa insiden kekasaran selepas beberapa pemain JDT dilayangkan kad kuning,” kata Bidoglio.

Pada perlawanan itu, ayam tambatan JDT, Bergson Da Silva berjaya melakar hatrik selepas mencipta jaringan pada minit ke-32 diikuti gol pada minit ke-42 dan lima minit sebelum tamat perlawanan.

Setakat ini pemain import dari Brazil itu sudah mengumpul 20 jaringan untuk menghuni tangga teratas senarai penjaring Liga Super.

Fernando Forestieri memulakan pesta gol skuad Harimau Selatan selepas meledak gol pada minit ke-13.

Ditanya mengenai persembahan pemain tengah, Daniel Amir Norisham yang diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan itu, Bidoglio nyata gembira dengan kualiti permainan yang ditampilkan pemain itu yang pantas menyesuaikan diri.

“Walaupun jarang diturunkan dan kerap berada di bangku simpanan, Daniel Amir menunjukkan persembahan yang mantap apabila menguasai posisi tengah dengan baik, malah gandingan bersama Natxo (Insa) dan Leandro (Velazquez) tampak konsisten,” katanya.

Mengenai tindakannya menyenaraikan Haziq Nadzli dan merehatkan Farizal Marlias di gawang JDT, pengendali kelahiran Argentina itu berkata: “Farizal tetap penting untuk kami bagi mengawal gawang JDT, sudah menjadi lumrah untuk ada rombakan kecil bukan sahaja di posisi penjaga gol malah semua posisi juga akan ada rombakan dan saya senaraikan Haziq kerana dia juga perlukan minit permainan.

“Saya ambil keputusan menyenaraikan Haziq kerana ia peluang terbaik buat dia beraksi menentang Melaka United kerana jika berlaku perkara yang tidak diingini kepada Farizal, maka Haziq yang ada minit permainan akan bersedia diturunkan.”

Sementara itu pengendali Melaka United, Asri Ninggal akur dengan kepincangan pasukannya susulan ketiadaan pemain import dalam kesebelasan utamanya.

Ketiadaan kapten Sonny Norde, Ifedayo Olusegun, Emmanuel Oti dan Justin Baas, serta Adrianoo yang hanya beraksi di babak pertama menjejaskan rentak permainan pasukannya.

“Kelibat pemain import mewakili 47 peratus kekuatan Melaka United, jadi apabila kita tidak dapat turunkan mereka maka menganggu perancangan dan kekuatan pasukan itu.

“Tambah pula kita berlawan dengan JDT dan beraksi di laman mereka sendiri dan sudah tentu ia bukan mudah buat kami.

“Mengenai ketiadaan pemain import yang tidak dapat diturunkan, ada yang mengalami kecederaan dan ada pula yang bapa tidak sihat.

“Bagaimanapun saya tetap puas hati dengan kelibat pemain tempatan yang tunjuk kesungguhan untuk menyaingi kehebatan JDT,” kata Asri.