Anwar buat penerangan mengenai ‘majlis menghadap Agong’

SHAH ALAM – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan khas secara maya dengan pemimpin kanan dan wakil-wakil rakyat PKR menerusi aplikasi Zoom hari ini.

Dalam pertemuan maya itu Anwar memberi penekanan kepada jurucakap Parlimen PKR tentang keperluan sentiasa bekerja keras di portfolio masing-masing, tidak kira di dalam atau di luar Parlimen.

Ia termasuk mengenai usaha menangani wabak koronavirus (Covid-19), situasi politik semasa serta majlis menghadap Anwar dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada minggu hadapan.

Intipati pertemuan maya bersama Presiden PKR itu didedahkan oleh Setiausaha PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi PKR sebentar tadi.

“Hari ini Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan menerusi Zoom dengan ahli Majlis Pimpinan Pusat serta wakil-wakil rakyat PKR,” kata Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu.

Beliau berkata, Presiden menekankan beberapa perkara penting yang perlu diingat untuk PKR terus bergerak ke hadapan, termasuk keperluan meningkatkan usaha untuk terus berkhidmat kepada rakyat Malaysia.

Menurutnya, Anwar memberi penekanan kepada jurucakap Parlimen PKR tentang keperluan sentiasa bekerja keras di portfolio masing-masing, tidak kiralah di dalam atau di luar Parlimen.

“Mereka tidak boleh berfungsi hanya untuk menyatakan pendirian parti semata-mata, tetapi perlu bertindak sebagai penjaga kepentingan awam mengikut portfolio masing-masing.

“Penting untuk mereka bekerja secara aktif dan sering berinteraksi dengan pihak berkepentingan dalam menghadapi cabaran berkaitan dengan sektor yang berada di bawah portfolio mereka,” katanya.

Saifuddin berkata, menurut Anwar hanya dengan mendengarkan rintihan rakyat mereka dapat mengenal pasti cara untuk membantu negara kita pulih dan makmur.

Dalam masa sama, Saifuddin berkata, Anwar turut menggesa semua anggota PKR untuk terus berkhidmat dan membantu masyarakat setempat semasa berlakunya wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, Anwar turut memberi penekanan khusus kepada Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan agar bekerja keras untuk tangani cabaran rakyat di negeri-negeri tersebut akibat wabak Covid-19.

“Walaupun pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan dengan kesihatan perlu dipatuhi, kita harus tetap membantu rakyat Malaysia, terutama anggota masyarakat kita yang paling berisiko.

“Akhir sekali, Anwar memberi penerangan mengenai situasi terkini, termasuk majlis menghadap beliau dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada minggu hadapan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, kata Saifuddin, Anwar meminta mereka untuk menyeru semua rakyat Malaysia supaya kekal tenang dan terus mendoakan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan negara kita.

Tambahnya, Anwar juga menyatakan hasrat pembentukan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil merangkumi seluruh kekuatan yang menumpukan agenda rakyat.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/104598/BERITA/Politik/Anwar-buat-penerangan-mengenai-majlis-menghadap-Agong © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf