Awas Harimau Selatan

ATAS kertas, penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) diramal tidak menghadapi masalah menyingkirkan Kuching FA pada aksi pusingan pertama TM Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin malam ini.

Namun, Kuching FA yang tampil sebagai pendatang baharu Piala Malaysia tidak mahu menjadikan prestasi cemerlang JDT di pentas Liga Malaysia (Liga-M) sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebagai alasan untuk mudah menyerah kalah.

Sebaliknya, pasukan yang berpangkalan di Sarawak itu tetap mencongak peluang mencipta kejutan ke atas Harimau Selatan bersandarkan rekod lima kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Premier sebelum ini.

Penolong jurulatih Kuching FA, Ahmad Nurfaizal Patrick berkata, bukan sesuatu yang mustahil bagi anak-anak buahnya untuk mengejutkan JDT sekiranya mereka mampu beraksi pada tahap terbaik.

“Kita sedar JDT adalah sebuah nama yang cukup besar dalam arena bola sepak tempatan. Malah, JDT juga sudah mampu mencuri tumpuan di pentas Asia apabila bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL).

“Tetapi dari satu sudut lain, ia menjadi cabaran buat mereka kerana tidak pernah bertemu kami kecuali pada aksi persahabatan awal musim ini. Jadi situasi sekarang sudah jauh berbeza.

“Saya percaya perlawanan malam esok (malam ini) bakal menjanjikan saingan sengit kedua-dua pasukan dan tidak mustahil kejutan berlaku kerana bola sepak memang sentiasa penuh dengan kejutan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Khabar gembira buat Kuching FA apabila dapat menyenaraikan barisan terbaik memandangkan kesemua pemain termasuk bekas penyerang kebangsaan, Joseph Kalang Tie bebas daripada masalah kecederaan.

“Berdasarkan sesi latihan yang dilalui sebagai persiapan menghadapi Piala Malaysia, saya lihat para pemain cukup bersemangat, lebih-lebih lagi apabila kami diundi menentang JDT selaku juara bertahan.

“Apa pun, kehadiran kami kali ini bukan hanya untuk melakukan kejutan atau sekadar pasukan ‘pelengkap jadual’ Piala Malaysia. Tetapi lebih penting adalah untuk kami menjadi contoh kepada pasukan bola sepak lain dari Sarawak,” ujarnya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/108704/BERITA/Sukan/Awas-Harimau-Selatan!
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf