Ayam Tambatan Baharu Bakal Perkuat Pasukan

Dua bekas tonggak kebangsaan, Amri Yahyah dan N. Thanabalan menjadi senjata baharu Sabah FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Biarpun sudah menginjak usia 40 tahun, pengalaman luas Amri atau lebih mesra disapa Wak Am ketika menjarung jersi Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) ditagih skuad Tambadau.

Amri mencipta nama bersama Selangor dari 2001 hingga 2013, dan sepanjang 12 tahun khidmat buat Red Giants dia telah meledak 71 gol daripada 374 penampilan.

Penyerang veteran itu turut cemerlang ketika menyertai JDT dari 2014 hingga 2016, sebelum menyertai Melaka United dan kembali ke pangkuan Selangor pada 2018 hingga 2019.

Musim lalu, penyerang yang menghasilkan ‘gol emas’ Selangor dalam final Piala Malaysia 2002 menentang Sabah telah beraksi untuk Sarawak United.

“Dengan kehadiran Amri diharapkan serangan dan corak permainan tersusun akan kelihatan dalam pasukan Sabah FC dalam saingan Liga Super musim ini.

“Usia yang telah mencecah 40 tahun hanyalah angka, Likas pula bukanlah asing buat beliau,” kata Sabah FC dalam satu kenyataan.

Sementara itu Thanabalan, 26, yang berasal dari Seremban mula dikenali ketika bersama skuad bawah 23 tahun kebangsaan dari 2015 hingga 2018.

Penyerang yang meledak gol kemenangan Malaysia pada minit akhir dalam separuh akhir Sukan SEA 2017 menentang Indonesia memulakan karier bersama Negeri Sembilan dari 2013 hingga 2018.

Dia kemudian berhijrah ke Kedah pada tahun berikutnya sebelum menyertai Perak II dalam Liga Perdana.

Sumber : utusan