Bajet Lumayan Tapi Jersi Cabuk

MASALAH polisi membabitkan penajaan barangan sukan dengan syarikat yang berpangkalan di Singapura menyaksikan pelatih-pelatih di Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) terpaksa memakai jersi lama hingga ada logo yang terc4but pada pakaian berkenaan.

Tampil mendedahkan perkara itu, Pengurus Besar AMD, Muhamad Yusuf Ibrahim berkata, logo Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) pada jersi terbabit sebenarnya sudah tiga kali ditampal semula namun ia tetap tert4nggal kerana jersi itu sudah lama digunakan oleh skuad terdahulu.

Katanya, pihak pengurusan tiada pilihan lain dengan terpaksa memberi pemain menyarung jersi itu ekoran ketiadaan penaja barangan sukan sejak pertengahan tahun lalu.

“Sebenarnya kita ada dapat tajaan daripada syarikat sukan luar dari Singapura pada Jun lalu. Tapi, disebabkan masalah polisi dan sebagainya, penajaan itu terpaksa dibatalkan.

“Kita ada cuba memohon tajaan-tajaan lain cuma ia mengambil sedikit masa sebab itu pasukan B-16 AMD terpaksa memakai jersi lama.

“Jersi itu pun sebenarnya boleh pakai lagi, tapi ialah bila sebuah pasukan seperti AMD pakai jersi yang dah lama macam itu mesti ramai akan fikir macam-macam. Apapun, kita dalam proses terakhir untuk dapatkan tajaan baru,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Berdasarkan semakan, Majlis Sukan Negara (MSN) pada 27 Jun lalu memeterai tajaan bernilai RM10 juta bersama jenama Kool dari Singapura untuk tempoh lima tahun merangkumi bekalan bola, pakaian pertandingan serta tajaan membabitkan keperluan pendidikan di AMD.

Menerusi pendedahan Arena Metro semalam, pelbagai persoalan timbul susulan skuad B-16 AMD memakai jersi lama yang tert4nggal logo sedangkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah menyediakan peruntukan besar sebanyak RM45 juta kepada NFDP tahun lalu.

Lantas, ia mencetuskan kehairanan dalam kalangan pemerhati bola sepak tanahair, ke manakah perginya bajet lumayan itu sedangkan pemain hanya memakai jersi ‘cabuk’.

Malah, ia turut mendapat reaksi bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di laman Instagram apabila mengakui sanggup menghulurkan bantuan kepada NFDP sekiranya berdepan masalah kewangan.

Jelas Yusof lagi, AMD dijangka menggunakan jersi baharu bermula April ini dengan memilih jenama tempatan sebagai rakan kongsi baharu.

“Kita dah di peringkat terakhir rundingan, malah kalau ikutkan pada tahun lepas ketika pertandingan Piala Supermokh, penaja baharu itu dah sumbangkan jersi buat pasukan B-12, B-13 dan B-14.

“Tapi, untuk Piala Belia ini kita tak boleh bagi pemain pakai sebab tak muat dan fizikal pemain B-16 lebih besar.

“InsyaAllah pada bulan depan kita akan dapat penaja baharu sekali gus yang lama itu kita dah tak jadi,” katanya.

Sumber : HM