Bakal Miliki Pasukan Sendiri

ANDAI dinilai prestasi dan faktor usia, bekas tonggak pertahanan Kedah, Azmeer Yusof masih mampu beraksi dalam arena bola sepak profesional bagi tempoh beberapa tahun lagi.

Namun, Azmeer yang meninggalkan Kedah pada Jun tahun lalu sudah menoktahkan keputusannya untuk bersara sekalipun usianya baru mencecah 30 tahun.

Bagi Azmeer yang kini terlibat dalam bidang perniagaan, dia tidak pernah rasa kesal dengan keputusan yang dibuatnya itu selepas bergelumang hampir 15 tahun dalam kancah bola sepak profesional.

“Cukuplah apa yang sudah saya lalui sepanjang bergelar pemain bola sepak profesional. Macam-macam sudah saya harungi, baik pada saat suka mahupun duka, semuanya jadi kenangan.

“Walaupun ada beberapa rakan mengatakan rugi saya bersara awal, tetapi saya tidak rasa sebegitu. Malah, saya sekarang menikmati tempoh persaraan dengan rasa tenang.

“Saya anggap ini keputusan terbaik buat diri sendiri.Tidak ada apa yang hendak dikejarkan lagi kerana segala keperluan cukup untuk saya sekeluarga,” katanya kepada Sinar Ahad pada Sabtu.

Pada Jun tahun lalu, Azmeer memberitahu, dia tidak berhasrat untuk bersara selepas meninggalkan Kedah. Namun, menerusi satu ciapan dalam laman sosialnya baru-baru ini, anak jati Taiping, Perak itu mengumumkan persaraan daripada arena bola sepak.

Mengulas lanjut, Azmeer berkata, tumpuannya kini lebih terarah kepada kerja-kerja amal selain memberi fokus dalam bidang perniagaan dan Pusat Pengajian Islam miliknya di Kedah.

“Sebenarnya penubuhan Pusat Pengajian Azmeer Yusof bermula pada 18 Mac tahun lepas. Pada mulanya, ia hanya untuk diri saya sendiri tetapi kemudiannya, saya mendapat ilham untuk mengajar lebih ramai orang datang mendekatkan diri dengan al-Quran.

“Sebab itu jika ditanya tentang bola sepak, buat masa ini saya hanya menumpukan kepada kebajikan. Saya terpanggil untuk membantu ramai pihak di luar sana,” jelasnya.

Biarpun harapan peminat untuk melihatnya kembali beraksi di udah berakhir, namun Azmeer tidak pernah menutup terus pintu hati terhadap bola sepak.

“Saya ada impian untuk menubuhkan pasukan sendiri. Buat masa ini, saya sedang menunggu proses padang sendiri yang dijangka siap pada pertengahan tahun ini. Insya-ALLAH selepas siap nanti, saya akan adakan liga dan pasukan sendiri di Tongkang Yard, Kedah,” ujarnya.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/117320/BERITA/Sukan/Tiada-apa-nak-dikejar