Balik Awal Tidak Jejas Safawi

KUALA LUMPUR: Nilai pasaran bintang muda Harimau Malaya, Safawi Rasid dijangka tidak akan terjejas walaupun dia tidak menghabiskan tempoh pinjaman selama semusim bersama Portimonense SC.

Ketika ini, laman transfermarkt.com meletakkan nilai pasaran Safawi €300,000 (RM1.48 juta) dan tanda harga itu adalah sebelum pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu menyertai kelab Portugal itu lagi.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan nilai itu juga kemungkinan tidak akan terjejas walaupun Safawi dilaporkan akan kembali ke pangkuan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Saya rasa ia (Safawi kembali ke JDT) tidak akan memberi kesan kepada nilai pasarannya. Tapi kalau dia diberi peluang beraksi bersama pasukan (Portimonense) itu sebelum ini, nilai pasarannya mungkin lagi meningkat.

“Tapi walaupun dia tidak menamatkan tempoh pinjaman, tiada masalah dan tidak akan menjejaskan nilai pasaran dia,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Pada Oktober lalu, Safawi terbang ke Portugal untuk menyertai Portimonense secara pinjaman selama semusim selain menimba pengalaman beraksi di liga utama negara itu.

Nasib Safawi bagaimanapun kurang baik apabila dia masih belum diberikan peluang oleh barisan kejurulatihan kelab itu yang diketuai Paulo Sergio untuk membuat penampilan sulung bersama skuad utama Portimonense.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada minggu lalu mengejutkan semua pihak apabila mengumumkan Safawi akan kembali bersama skuad Harimau Selatan untuk saingan Liga Malaysia musim depan, sekali gus tidak akan menamatkan tempoh pinjamannya bersama Portimonense.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/12/768913/balik-awal-tak-jejas-nilai-safawi