Berang Di “Peram” Lagi

KUALA LUMPUR: Kecewa Safawi Rasid masih tidak diberi peluang beraksi biarpun hanya menentang kelab divisyen tiga, UD Leiria, peminat bola sepak Malaysia sekali lagi bertindak ‘menyerang’ Portimomense SC.

Peminat yang meletakkan harapan tinggi Safawi akhirnya akan diturunkan dalam perlawanan Taca de Portugal (Piala Portugal) sanggup bersengkang mata dari pukul 5 pagi tadi.

Malangnya, sehingga wisel penamat ditiupkan, bintang Harimau Malaya itu tidak dibawa masuk dan Portimonense dimalukan 1-0 oleh kelab liga bawahan, Leiria pada perlawanan pusingan ketiga.

Sejurus tamat permainan, Facebook Portimonense dihujani ratusan komen daripada penyokong Malaysia yang amat kecewa.

“Kena peram lagi Safawi,” tulis pemilik akaun Alit Al Hasan.

“Bagilah Pawi main, tengok aksi dia..skil dia,” tulis Shah Rizan.

“Kami dah habaq (bagi tahu)…jika mahu menang masukkan Pawi,” kata Akbal Radzuan.

“Ape tujuan sebenar si Pawi pergi sana kalau tak dapat main macam Luqman (Hakim Shamsudin)?,” tanya Khir Yaman.

Dia juga mempersoalkan apakah pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu menyertai kelab Portugal tersebut hanya untuk tujuan pemasaran.

Malah, beberapa penyokong yang berani turut melancarkan kempen agar pengurus pasukan, Paulo Sergio dipecat.

Selain tersingkir daripada saingan Taca de Portugal, Portimonense juga kini menghuni tangga tercorot Liga Primeira dengan sekadar mencatat satu kemenangan dan satu seri dalam tujuh perlawanan.

Sejak tiba di Portugal awal bulan lalu, Safawi yang dipinjamkan semusim oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) masih tidak diberi kepercayaan beraksi untuk skuad utama Portimonense.

Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia dua musim berturut-turut itu hanya bermain selama 56 minit buat pasukan bawah 23 tahun, dan empat kali terlepas aksi skuad utama menentang Maritimo, Tondela, Santa Clara serta Porto.

Sumber : https://www.utusan.com.my/sukan/2020/11/peminat-berang-pawi-diperam-lagi/