Berdepan prestasi mengecewakan

Juara Liga Super tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) lebih dilihat berbisa di depan gawang dalam tempoh 15 minit pertama dan 15 minit terakhir perlawanan sepanjang musim ini.

Ia berdasarkan statistik jaringan yang diledak skuad berkenaan mengikut minit perlawanan sepanjang musim ini termasuk dalam Liga Malaysia (Liga M) dan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Menurut statistik yang dikeluarkan kelab itu, skuad kendalian Benjamin Mora meledak sembilan gol dalam 15 minit pertama dan jumlah sama turut dihasilkan dalam tempoh 15 minit terakhir perlawanan.

Bagi minit ke-16 hingga 30, JDT meledak empat gol dan skuad Harimau Selatan menjaringkan tiga gol bagi setiap tiga suku masa lagi iaitu dalam tempoh minit ke-31 hingga 45, 46 hingga 60 dan 61 hngga 75.

Untuk rekod, JDT berjaya menghasilkan 31 gol musim ini termasuk 28 dalam saingan Liga Super yang membabitkan 13 perlawanan dan tiga dalam enam perlawanan di pentas ACL.

Jumlah itu bukan sahaja meletakkan JDT di persada Liga Super selepas mengumpul 30 mata, malah turut menjadikan mereka pasukan paling ‘tajam’ di depan gawang berbanding pasukan lain.

Gawang JDT pula hanya dibocori sebanyak enam kali sepanjang Liga Super musim ini, sekali gus jauh meninggalkan pasukan lain dari segi jumlah perbezaan gol.

Dua pencabar terdekat mereka, Terengganu FC (TFC) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pula berjaya meledak 20 dan 21 jaringan, namun kedua-duanya memiliki jumlah bolos yang besar iaitu sebanyak 12 dan 13.

JDT bagaimanapun berdepan prestasi yang mengecewakan di pentas ACL apabila hanya mengumpul tiga jaringan dan sembilan kali gawang dibolosi.

Skuad Harimau Selatan tersingkir dari saingan itu selepas menduduki tempat ketiga Kumpulan G di belakang kelab Jepun, Nagoya Grampus dan wakil Korea Selatan, Pohang Steelers yang muncul juara dan naib juara kumpulan.

Sumber : BH