Berhasrat Merombak Semula?

Kuala Lumpur: Impak pandemik Covid-19 dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini nyata memeningkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) apabila beberapa penaja utama berhasrat merombak semula perjanjian yang dipersetujui sebelum ini.

Difahamkan, Telekom Malaysia (TM) yang juga penaja utama Liga M sedang menilai semula terma perjanjian yang menyaksikan syarikat telekomunikasi terbesar negara itu memperuntukkan sejumlah RM33 juta semusim dengan kontrak tiga tahun.

Bagaimanapun, dengan pembatalan saingan Piala Malaysia selain aksi Liga Super dan Perdana yang hanya dijalankan secara separuh liga musim ini, ia jelas tidak disenangi penaja terbesar itu terutama dari aspek komersial khususnya berkaitan logo TM.

Menurut sumber, ketika ini pihak TM sedang berunding dengan MFL bagi membenarkan semula logo TM dipaparkan di hadapan jersi setiap pasukan bermula musim depan seperti mana yang pernah diwajibkan pada musim 2006-2010 lalu.

Katanya, ia bagaimanapun bukan satu kemestian atau paksaan kepada semua pasukan di mana, hanya pasukan memaparkan logo itu saja akan menerima dana daripada penaja.

“Semua tahu TM beri penajaan yang besar, tetapi oleh kerana pembatalan beberapa pertandingan yang menyebabkan tiadanya siaran langsung…buat penaja tak gembira.

“Difahamkan, mungkin musim depan pasukan perlu memamparkan logo TM di depan jersi masing-masing bagi tujuan pemasaran lebih baik dan menyeluruh daripada hanya siaran langsung di televisyen.

“Tapi ia bukan benda wajib. Sebab kita tahu ada pasukan mungkin sudah terikat dengan tajaan masing-masing yang lebih lumayan, misalnya Selangor yang mempunyai tajaan besar PKNS. Begitu juga JDT (Johor Darul Ta’zim) yang terikat dengan penaja mereka.

“Jadi ia hanya untuk pasukan yang mahukan dana daripada MFL sahaja. Tapi ia masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan lagi,” katanya kepada Arena Metro.

Menurut sumber itu, pihak TM juga meminta supaya dana berkenaan dikreditkan terus ke akaun pasukan Liga M tanpa perlu melalui MFL.

Untuk rekod, sejumlah RM1 juta diperuntukkan setiap pasukan Liga Super, manakala RM500,000 pula pasukan dari Liga Perdana.

Jumlah berkenaan membabitkan nilai keseluruhan RM18 juta kepada 24 pasukan Liga M musim ini dan nilai itu dijangka berkurangan sekiranya ada pasukan yang enggan mengikut syarat baharu itu.

Sementara itu, Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika dihubungi Arena Metro menegaskan tidak tahu mengenai perkara terbabit.

Namun, beliau mengakui MFL berdepan cabaran isu penajaan Liga M kesan pandemik Covid-19.

“Pasal itu (penilaian perjanjian oleh TM) saya tak tahu. Tapi status penajaan liga ini bukan masalah dekat kita (Liga M) saja, satu dunia,” katanya.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/utama/2020/11/646098/mfl-dalam-dilema