Bijak ambil kesempatan

Bermula daripada niat mengeluarkan modal bagi membantu sepupu, pertahanan kiri Kedah, Azmeer Yusof, sama sekali tidak menyangka mereka berdua boleh menjalankan perniagaan menjual ikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak COVID-19.

Sebelum PKP terjadi, Azmeer hanya mahu membantu sepupunya yang mengambil keputusan berhenti kerja bagi menjalankan perniagaan pembersihan sampah dengan telah mengeluarkan modal.

Namun ekoran tempoh PKP, sepupunya yang bernama Hazali Hamid, tidak dapat memulakan perniagaan itu dan selepas melakukan perbincangan bersama,mereka berdua mencapai kata sepakat menjalankan perniagaan menjual ikan.

“Saya dengan sepupu cukup rapat sejak kecil kerana dia banyak membantu perkembangan karier saya sejak aktif bermain bola sepak.

“Sebagai membalas budinya yang tidak jemu menyokong karier saya, saya telah belikan lori dan tiga tong sampah sebagai permulaan perniagaan pembersihan sampah.

“Bagaimanapun hasrat itu tidak dapat diteruskan buat masa ini,jadi kami ambil keputusan menjual ikan memandangkan saya tahu saluran mendapatkan ikan terus daripada peraih di Kedah.

“Bermula daripada 500 kilogram pengambilan, kami boleh menjual dalam 1.2 tan ke 1.3 tan sehari di sekitar Kuala Lumpur.

“Memang sama sekali tidak sangka sambutan cukup baik dalam tempoh seminggu lebih ini dan alhamdulilah pulangannya begitu lumayan bagi kami berdua,” katanya.

Azmeer merupakan antara pemain berpengalaman di posisi pertahanan kiri Liga Malaysia serta pernah bermain dengan banyak pasukan terkemuka seperti Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur serta Kedah.

Menurut Azmeer, dia tidak berhasrat meneruskan perniagaan ikan di jangka masa panjang kerana sudah ada cita-cita tersendiri dalam menubuhkan syarikat pembersihan sampah selepas bersara daripada dunia bola sepak.

“Mungkin selepas PKP berakhir,kami akan serahkan perniagaan ini kepada sepupu lain yang telah menyuarakan minat untuk mengambil alih manakala Hazali akan kembali fokus kepada perniagaan pengurusan pembersihan sampah.

“Niat saya mahu meneruskan legasi perniagaan ayah dan mahu dia berehat apabila saya boleh menumpukan perniagaan ini sepenuh masa,” katanya.

Azmeer juga menggesa pemain-pemain lain agar boleh ikhtiarkan sesuatu dalam mencari pendapatan sampingan memandangkan banyak pasukan dijangka akan ambil langkah pemotongan/penangguhan gaji tempoh PKP ini.

” Bagi tempoh ini, saya rasa pemain kena fikirkan cara terbaik menjana kewangan senditi terutama melalui berniaga kerana sepanjang PKP ini, semua pasukan pasti terjejas.

” Jadi kena ada langkah alternatif jika situasi ini terjadi bagi memastikan segala keperluan asas kita tidak terjejas dalam hadapi situasi ini.

” Saya juga kena bijak membahagikan masa melakukan program kecergasan di rumah seperti yang diarahkan oleh pihak kejurulatihan, ” katanya.

Sumber : vocketfc