Bojan Hodak Ditempat Baru Tahun 2021

Bojan Hodak dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Kuala Lumpur untuk saingan musim 2021 bagi menggantikan jurulatih dari Chile, Simon Elissetche.

Jurulatih berusia 49 tahun dari Croatia itu kembali ke Malaysia selepas setahun mengendalikan kelab Indonesia, PSM Makassar.

Beliau telah menandatangani kontrak selama setahun dan akan memulakan tugas pada 15 Jan selepas tamat tempoh kuarantin pencegahan COVID-19 selama tujuh hari.

CEO KL United FC, Stanley Bernard berkata keputusan untuk melantik Bojan dibuat selepas lesen kejurulatihan Elissetche tidak diiktiraf oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Saya tidak dapat menunggu lagi (untuk mengesahkan lesen Elissetche),” katanya kepada Bernama.

“Tetapi jika dibandingkan ringkasan latar belakang kerjaya antara kedua-dua individu ini, saya dapat katakan bahawa ia adalah keputusan berkaitan bola sepak kerana kami mahukan jurulatih yang mempunyai rekod prestasi yang lebih baik.”

Kata Stanley, pelantikan Bojan adalah berdasarkan rekod prestasi beliau dalam Liga Malaysia, terutamanya ketika membawa Kelantan meraih kejuaraan ‘treble’ – Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia – pada 2012 serta membantu JDT menjuarai Liga Super pada 2014.

KL meletakkan harapan kepada Bojan untuk memastikan skuad kendaliannya terus kekal berada dalam Liga Super 2022 atau kontraknya tidak akan diperbaharui pada musim depan.

Pada masa sama, Stanley percaya kemasukan beberapa pemain berpengalaman seperti Safee Sali, Hadin Azman, Dominique Da Slyva dan Romel Morales akan membantu KL beraksi dengan baik pada musim ini.

Sumber : https://football-tribe.com/malaysia/2021/01/11/bojan-hodak-dilantik-jurulatih-kl-baharu/