Bukan Lagi Dalam Radar Ahli Baharu Skuad Penyu

KUALA TERENGGANU: Bukan lagi dalam radar, sebaliknya pemain kelahiran Namibia, Petrus Shitembi hanya menunggu masa untuk menjadi ahli keluarga baharu skuad Terengganu FC (TFC) bagi berdepan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menurut sumber, bekas pemain tengah Sabah berusia 28 tahun serta masih lagi beraksi bersama pasukan kebangsaan negaranya itu, sudah tiba di Kuala Lumpur kelmarin manakala baki empat lagi pemain import akan menyusul dalam masa terdekat.

“Pemain itu (Shitembi) sudah tiba di Kuala Lumpur, tapi dia perlu menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari sebagaimana prosedur biasa yang ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

“Jika semuanya selesai dan tidak ada sebarang masalah, pemain itu akan dibawa ke Terengganu untuk menjalani sesi latihan sebagai persediaan menjelang Liga M dan Piala AFC musim depan,” kata sumber berkenaan.

Pemain berketinggian 1.79 meter itu bakal mengisis ditinggalkan bekas kapten TFC berdarah campuran Malaysia-England, Lee Tuck yang tidak disambung kontrak selepas tiga musim bersama skuad Penyu itu.

Sebelum menyarung jersi Sabah musim ini, Shitembi yang sudah membuat 60 penampilan bersama pasukan negaranya dengan meledak empat jaringan pernah menyarung kelab Lusaka Dynamos dalam Liga Zambia pada 2019.

Kehadiran Shitembi bakal memperkasakan lagi jentera tengah skuad kendalian Nafuzi Zain yang sebelum ini sudah mengikat pemain kebangsaan, Nik Akif Syahiran Nik Mat selain perancang sedia ada yang dikekalkan iaitu Faiz Nasir, Nasir Basharudin, Azalinullah Alias dan Sharin Sapien.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/12/767947/shitembi-perkuat-skuad-penyu