Bukan Lagi Gergasi Bola Sepak

Ketua jurulatih Selangor, Karsten Neitzel seakan tidak memikirkan mengenai kedudukannya selepas Red Giants tewas 2-1 di tangan Kedah pada aksi ketujuh Liga Super di gelanggang sendiri, malam tadi.

Malah, pengendali dari Jerman itu hanya ketawa ketika diajukan soalan adakah kekalahan ketiga yang dialami pasukannya musim ini dan sekadar mengutip lapan mata memberi kesan kepada jawatannya.

“Kedudukan saya? Saya tak tahu, jangan tanya saya,” kata Neitzel sambil ketawa pada sidang media selepas perlawanan.

Selangor mengecap kegemilangan ketika di barisi pemain handalan suatu ketika dahulu.

Selangor yang dicanang sebagai antara pencabar kejuaraan liga musim ini hanya berada di kedudukan ketujuh liga apabila menang dua kali, seri dua kali dan kalah tiga kali selepas mengharungi tujuh perlawanan.

Mengakui kecewa dengan kekalahan kepada Kedah walaupun terlebih dahulu berada di depan pada babak pertama, Neitzel menganggap kegagalan pemainnya memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol menjadi antara faktor mereka tewas.

“Inilah bola sepak, kami sepatutnya boleh menjaringkan lima, enam gol pada babak pertama dan pada babak kedua kami memiliki banyak peluang menjaringkan gol. Pasukan beraksi dengan sangat baik tapi akhirnya yang paling penting adalah keputusan dan kami kalah.

“Kami sangat kecewa. Semua pemain melakukan tugas dengan baik termasuk pemain muda. Namun, kami tewas dan kami perlu membuat analisis apa yang berlaku di atas padang.

“Sudah pasti kami perlu meningkatkan sesuatu, tapi kami juga perlu kekalkan beberapa perkara seperti cara permainan hari untuk perlawanan akan datang,” katanya.

Sementara itu, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak bersyukur apabila pemainnya berjaya bangkit dari ketinggalan untuk mencuri tiga mata berharga dari gelanggang lawan.

“Memang nampak bukan persembahan terbaik, tapi sebelum babak kedua kami bercakap dalam bilik persalinan dan membuat beberapa perubahan. Alhamdulillah pemain mengikut perancangan,” katanya.

Sumber : BH