Bukan Lubuk Duit

KUALA LUMPUR: Mana-mana individu atau pihak yang mahu membeli pasukan Liga Malaysia (Liga M) perlu memiliki sekurang-kurangnya RM5 juta hingga RM7 juta sebagai ‘duit poket’ untuk menguruskan pasukan bagi saingan musim depan.

Jumlah itu tidak termasuk harga bagi pembelian pasukan yang perlu dibayar kepada persatuan bola sepak negeri atau kelab.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan RM5 juta adalah jumlah paling sedikit untuk membentuk skuad Liga Perdana dan bagi Liga Super sekurang-kurangnya RM7 juta.

Katanya, jumlah itu bagi menampung kos terutama membabitkan gaji pemain dan jurulatih selain perbelanjaan lain buat pasukan mengharungi saingan Liga M.

“Jika harga pasukan itu RM3 juta, pembeli perlu ada RM5 juta lagi untuk uruskan pasukan (Liga Perdana) musim depan. Maknanya mereka perlu sediakan sekurang-kurangnya RM8 juta.

“Ada juga pasukan (Liga Perdana) yang berbelanja antara RM3.5 juta hingga RM4 juta bagi satu musim, tapi mereka hanya menggunakan pemain yang kurang ternama atau muda.

“Jumlah paling kurang untuk gaji pemain sahaja RM200,000 hingga RM250,000 sebulan bagi Liga Perdana dan Liga Super RM300,000 hingga RM350,000. Itu jumlah paling sedikit perlu dibelanjakan oleh pasukan.

“Bagi membentuk skuad mantap kelab perlu sediakan RM10 juta hingga RM12 juta bagi Liga Perdana dan Liga Super antara RM12 juta hingga RM15 juta. Jumlah ini bagi pasukan yang mendapatkan pemain lebih ternama dan berkualiti,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh menjelaskan individu yang berhasrat mengaut keuntungan dengan membeli kelab perlu berfikir dua atau tiga kali kerana bola sepak bukan lubuk untuk ‘mencetak duit’.

Mengulas mengenai perkara itu, Effendi tidak menafikan kenyataan Serbegeth atau Shebby terutama semua pasukan berdepan impak daripada pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, beliau yang juga ejen pemain berpengalaman menjelaskan kelab boleh mengkaji beberapa model pengurusan terbaik dalam usaha memastikan kestabilan pasukan.

“Real Madrid dan Barcelona menjadikan penyokong sebagai ahli kelab yang mana mereka juga menyumbang dana kepada kelab dan memiliki kuasa dalam memilih presiden.

“Tidak mustahil model itu juga boleh diguna pakai di Malaysia, tapi ia terpulang kepada kebijaksanaan pengurusan kelab,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/08/722424/paling-kurang-kena-ada-rm5-juta