Bukan sahaja kehilangan Diogo tetapi pemain ini juga

Camilo Sanvezzo membuat kejutan apabila dilaporkan kekal bersama kelab Liga Mexico, Mazatlan FC, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai statusnya di JDT.

Pemain Brazil berusia 32 tahun itu dijangka tiba di Malaysia pada penghujung tahun ini untuk menyertai JDT, namun beliau dilaporkan telah menandatangani kontrak dua tahun pula iaitu sehingga 2022.

Perkara itu disahkan sendiri oleh akaun media sosial kelab Mazatlan.

Malah, media terkemuka di Mexico iaitu TV Azteca turut melaporkan bahawa Sanvezzo membuat keputusan untuk kekal di Mazatlan meskipun mendapat tawaran dari luar negara khususnya Malaysia.

Sanvezzo beraksi dengan cemerlang di Liga Mexico musim ini, apabila menjaringkan 8 gol dalam 11 perlawanan, dengan hanya 7 perlawanan daripadanya sebagai pemain kesebelasan utama.

Perkara itu pastinya membingungkan peminat JDT dan merunsingkan kelab JDT, terutamanya setelah Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri yang mengumumkan Sanvezzo sebagai penyerang baharu JDT bagi musim 2021.

Manakan tidak, Sanvezzo sepatutnya mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Diogo Luis Santo, setelah pemain Brazil itu disahkan akan meninggalkan JDT dan kembali ke Liga Thailand untuk menyertai kelab BG Pathum United.

Ini bermakna, JDT bukan sahaja kehilangan Diogo tetapi juga Sanvezzo.

Setakat ini, kelab Harimau Selatan itu mempunyai Gonzalo Cabrera dan Fernando Rodriguez sebagai penyerang import serta dibarisi oleh Syafiq Ahmad dan Hazwan Bakri sebagai penyerang tempatan.

Sumber : https://football-tribe.com/malaysia/2020/11/14/camilo-sanvezzo-kekal-di-mexico-tidak-jadi-ke-jdt/