Cadang saja, kalau setuju baru bincang – Tok Mat

Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, kenyataan beliau berhubung kemasukan semula Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin ke dalam UMNO sekadar cadangan.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden UMNO itu berkata, jika perkara tersebut dipersetujui Muhyiddin yang juga Perdana Menteri, ia boleh di­bincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebelum keputusan dibuat.

“Saya cadang sahaja, sekiranya beliau bersetuju baru kita bincang. Terpulang kepada keputusan MT UMNO kerana keputusan tertinggi adalah MT,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Rantau berharap perkara tersebut tidak terus dipolemikkan.
Baru-baru ini Mohamad atau Tok Mat dalam satu temu bual dengan sebuah portal berkata, UMNO boleh mengubah keputusan pemecatan Muhyiddin pada 2016 dan menerimanya semula ke dalam parti itu.

Menurutnya, keputusan tersebut akan memudahkan banyak perkara antaranya mengenai pembahagian kerusi pada pilihan raya.

Sementara itu, ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Tahunan UMNO Wanita dan Pemuda UMNO Cawangan Chengkau 2020 di Kampung Che Tambi, Rembau semalam, Mohamad berkata, UMNO kini pada peringkat menyelesaikan isu kerusi yang bakal ditandingi parti itu.

“Datuk Seri Ismail Sabri (Naib Presiden UMNO) dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa khas bagi berunding semula dengan negeri-negeri.

“Ada perbezaan antara jangkaan ibu pejabat dan juga ne­geri, jadi, kita kena harmoni­kan. Kita bukan melihat kerusi-kerusi Parlimen tetapi juga berbincang mengenai kerusi-kerusi di Dewan Unda­ngan Negeri (DUN),” katanya. UTUSAN ONLINE