Dalam Radar TFC

Kuala Terengganu: Bekas arkitek pasukan T-Team kelahiran Mali musim 2016/2017, Makan Konate adalah antara pemain yang dikaitkan bakal menyarung jersi pasukan Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Turut berada dalam radar skuad Penyu itu pemain kebangsaan Namibia, Petrus Shitembi yang pernah beraksi di posisi tengah bersama pasukan Sabah dalam kancah Liga Super musim ini.

Menurut sumber, pemain lain yang kini sedang diintai TFC adalah bekas pemain Kuala Lumpur musim lalu, Luke Woodland dan beberapa lagi pemain import bagi memperkasakan pasukan yang bakal bersaing dalam kancah Piala AFC selain Liga M.

“Selain Konate, Shitembi dan Woodland, pengurusan skuad itu juga sedang menilai dan mengenal pasti beberapa pemain import dari Jepun, Brazil, Australia, Korea dan juga Filipina bagi memenuhi kuota lima tonggak import sebagaimana syarat yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Bagaimanapun semua pemain berkenaan masih belum dapat diumumkan lagi kerana mereka masih mempunyai kontrak sehingga hujung tahun ini dengan pasukan masing-masing walaupun berada dalam radar pasukan.

“Tapi apa yang boleh saya katakan pemain import berkenaan adalah setaraf ataupun lebih baik berbanding pemain import sebelum ini.

“Jadi peminat skuad TFC harus bersabar, apabila tiba masa yang sesuai pengurusan pasukan akan umumkan nama pemain berkenaan,” katanya kepada Arena Metro.

Terdahulu TFC yang menghuni di tangga ketiga Liga Super musim ini dan layak ke pentas Piala AFC musim depan tidak menyambung kontrak semua pemain importnya termasuk kapten berdarah campuran Malaysia-England, Lee Tuck.

Turut tidak disambung kontrak penjaring ketiga terbanyak Liga Super, Dominique Da Sylva (Mauritania), Sanjar Shaakhmedov (Uzbekistan), Muhammad Faris Ramli (Singapura) dan pertahanan kelahiran Senegal, Babacar Diallo.

Sumber – https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2020/12/653100/konate-dalam-radar-tfc