Dalam Radar United

MADRID: Real Madrid berdepan risiko kehilangan Sergio Ramos secara percuma hujung musim ini jika Gareth Bale kembali ke pangkuan pasukan musim depan.

Kewangan gergasi bola sepak Sepanyol itu terjejas teruk akibat Covid-19, dan Ramos dikatakan menolak dua tawaran penyambungan kontrak kerana tidak setuju gajinya dipotong.

Menurut laporan AS, isu kewangan yang dihadapi bermakna skuad bimbingan Zinedine Zidane tidak mampu memenuhi tuntutan Ramos kerana kontrak mewah Bale hanya akan berakhir pada Jun 2022.

Bale ketika ini dipinjamkan kepada kelab London, Tottenham namun pemain Wales itu gagal mencipta impak dalam kepulangan semula bersama pasukan lamanya.

Pemain berusia 31 tahun itu hampir pasti kembali ke Madrid kerana gagal memikat pengurus Spurs, Jose Mourinho.

Menurut laporan, Bale dan Ramos adalah dua pemain yang menerima gaji tertinggi di Santiago Bernabeu.

Kapten Real dan Sepanyol, Ramos sudahpun diintai beberapa pasukan, termasuk Manchester United.

Sumber : UTUSAN