DAPSY Akhirnya Bersetuju

PEMUDA Sosialis DAP Sarawak (DAPSY) akan menanggalkan pelekat bertulisan Cina yang ditampal di tiga papan tanda jalan di dalam kawasan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Pengerusi DAP Sarawak Chong Cheing Jen berkata, DAPSY akan menanggalkan pelekat yang ditampal di Jalan Main Bazaar, Lebuh Wayang dan Jalan Greenhill.

Menurutnya, ketua kumpulan itu juga akan pergi ke ibu pejabat DBKU pada Isnin untuk menerima sebarang notis kompaun dikeluarkan oleh pihak berkuasa itu atas kesalahan yang mereka lakukan.

“Pada masa sama, ketua Dapsy juga akan memberikan surat rasmi meminta DBKU untuk kembali menggunakan dua bahasa iaitu Melayu dan Cina pada papan tanda jalan.

“Untuk membantu DBKU, kami juga akan mencetak tulisan Cina untuk nama tiga jalan itu yang disertakan bersama surat permintaan kepada DBKU,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di Kuching, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Stampin itu, penggunaan tulisan Cina pada papan tanda jalan sudah lama wujud di Sarawak kerana ia ciri, tradisi dan budaya rakyat Sarawak.

Bagaimanapun, beliau mendakwa ia tidak lagi digunakan sejak beberapa tahun lalu terutama di dalam kawasan DBKU.

Justeru, katanya tindakan DBKU itu menghakis warisan dan tradisi istimewa yang dimiliki Sarawak selama ini.

“Bagi kami, ini adalah sesuatu yang bertentangan dengan semangat berbilang budaya dan hubungan antara kaum yang harmoni di Sarawak,” katanya.

Chong yang juga ADUN Kota Sentosa, mendesak DBKU menggunakan semula tulisan Cina pada papan tanda jalan kerana ia bukanlah sesuatu yang baharu.

Pada Khamis lalu, bekas Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan mengetuai sekumpulan ahli Dapsy Sarawak menampalkan pelekat tulisan Cina di tiga papan tanda jalan berkenaan, dengan alasan ia perlu diterjemahkan untuk keperluan pelancong dari China.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/08/612881/dapsy-setuju-tanggal-pelekat