“Dia Tidak Bagus & Sukar Terima Kekalahan” – Orang Lama

Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC), Sdn Bhd, Abdul Rahman Ibrahim menyifatkan kemenangan Terengganu FC (TFC) menumpaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah hasil persiapan rapi dan bukannya kemenangan nasib.

Malah, bekas pengendali kebangsaan itu mempertahankan anak buah Nafuzi Zain yang dilihat memiliki semangat melawan kental dan bukannya tiada semangat kesukanan yang tinggi sebagaimana dilabel pengendali JDT, Benjamin Mora.

Abdul Rahman, 75, juga mengakui taktikal yang diterapkan Nafuzi dalam perlawanan itu menjadi sehingga menyukarkan pasukan Harimau Selatan bergerak bebas selain TFC mempunyai sekurang-kurangnya tiga peluang terbaik untuk menambah jaringan.

Bagaimanapun, beliau yang pernah membawa pasukan kebangsaan memenangi pingat perak Sukan SEA 1987 serta ketiga Piala Tiger (Piala AFF Suzuki) pada 2000 tetap meletakkan JDT pasukan terbaik negara.

“Taktikal Nafuzi dilihat berkesan sehingga lawan sukar untuk memasuki kawasan kotak penalti juga antara kunci kejayaan pasukan TFC melebur rekod tanpa kalah JDT.

“Sebelum ini, TFC banyak kali seri, tapi Nafuzi berjaya mengubah taktikal dan memperkemaskan pasukan sekali gus berjaya mencuri kemenangan yang begitu berharga di tempat lawan.

“Bagaimanapun, kita perlu menerima hakikat JDT adalah pasukan yang bagus dan berkualiti, buktinya TFC nak menang perlukan persiapan yang rapi, Alhamdulillah kejayaan itu bakal memberi rangsangan kepada pemain untuk memburu kemenangan bertemu pasukan lain dalam perlawanan seterusnya,” katanya.

Mengenai kritikan Mora terhadap pemain TFC, bekas jurulatih Terengganu itu hairan sambil menyatakan jurulatih kelahiran Mexico itu tidak sepatutnya berkata demikian.

“Bagi saya dia tidak bagus dan sukar menerima kekalahan, sebaliknya mencari alasan menyalahkan pasukan lain, seorang jurulatih hebat tidak akan menyalahkan dan mengkritik pasukan musuh jika tewas.

“Sebaliknya mereka akan kritik dan menyalahkan pasukan dan pemainnya sendiri, mungkin dia (Mora) mengalami tekanan, tapi dalam bola sepak pasukan yang menjadi juara tak semuanya menang, mesti ada kalah dalam dua tiga perlawanan, jadi itu sebenarnya perkara biasa,” katanya yang menuntut pemain TFC tidak mendabik dada sebaliknya perlu tingkatkan lagi prestasi.

Pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri Sabtu lalu, TFC berjaya melebur rekod tanpa kalah 21 bulan Harimau Selatan hasil jaringan Mohamad Hakimi Abdullah pada minit ke-56.

Sumber : BH