Dijangka Sarung Jersi Skuad Sabah

Ketua jurulatih kelab bola sepak Sabah (Sabah FC), Kurniawan Dwi Yulianto mengesahkan seorang pemain Indonesia bakal mengisi kuota pemain import Asia Tenggara bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti pemain tersebut yang merupakan anggota skuad kebangsaan Indonesia.

Menurut laporan daripada Bolasport.com, rundingan berjalan dengan lancar dan kini dalam peringkat akhir untuk mendapatkan pelepasan daripada kelab asal pemain tersebut.

“Insya Allah sudah deal harga, tinggal minta izin dengan kelabnya. Semoga kelabnya bola memberikan perlepasan.

“Iya, dia pemain skuad kebangsaan Indonesia, hanya satu pemain sahaja. Doakan sahaja kelabnya beri izin nanti akan diumumkan secara rasmi,” jelas Kurniawan.

Musim lepas, Kurniawan cuba membawa bekas pemain Pahang, Saddil Ramdani untuk menyertai pasukan itu namun Saddil memilih untuk menyertai Bhayangkara FC dalam saingan Liga 1 Indonesia.

Meskipun tidak mahu mendedahkan nama pemain tersebut, Kurniawan amat mengenal corak permainannya ketika menjadi pembantu jurulatih dalam skuad Indonesia B-22 di Sukan SEA 2019.

“Saya sudah kenal dan tahu karakter pemain itu dan sesuai dengan game plan saya. Liga Malaysia akan menjadi batu loncatan untuk dia beraksi di peringkat lebih tinggi ke Thailand, Jepun atau Korea Selatan.

“Kalau dia main dengan Sabah, dia akan belajar bagaimana menghadapi tekanan dari diri sendiri, dimana status dia sebagai pemain asing. Jadi tekanan dan harapan yang diberi sangat tinggi,” katanya.

Berdasarkan khabar angin di media sosial, difahamkan pemain yang dimaksudkan ialah Osvaldo Haay atau Firza Andika.

Sumber : VocketFC