Dijangka Umum Pemain Import Lain

ALOR SETAR: Kedah mengumumkan barisan pemain baharu yang bakal beraksi dalam skuad Hijau Kuning untuk musim depan semalam.

Mohd Syazwan Zainon, Syazwan Tajudin, Fairuz Zakaria, Rozaimi Abdul Rahman, Rodney Celvin, Ilham Amirullah dan Mohd Ariff Farhan Md Isa antara nama yang diumumkan kelab menerusi laman Facebook Kedah Darul Aman FC.

Susulan pengumuman itu, skuad Kedah turut memulakan latihan pra-musim 2021 mereka di bawah kendalian penolong jurulatih Victor Andrag di padang latihan MADA di sini.

Menurut Andrag, walaupun menjalani latihan hari pertama dengan hanya pemain tempatan semalam, keseluruhan pemain yang hadir mempamerkan semangat yang tinggi.

“Jelas kelihatan selepas kita berehat selama sebulan, pemain-pemain cukup bersemangat untuk berlatih walaupun ketiadaan pemain import ketika ini dan belum penuh sebagai satu pasukan.

“Pemain tempatan kelihatan bersungguh-sungguh dalam sesi latihan pertama hari ini (semalam) walaupun kita tahu tahap kecergasan masing-masing belum sepenuhnya.

“Saya harap pemain baharu Kedah dapat menyesuaikan diri secepat mungkin bagi mendapat rentak yang diperlukan dalam mengekalkan momentum kejayaan Kedah seterusnya.

“Walaupun ada perubahan daripada sebuah persatuan kepada kelab, kaedah pasukan dalam padang sentiasa sama, kita akan cuba lalukan usaha yang terbaik seperti sebelum ini dan berharap kejayaan boleh dicapai pada musim depan,” kata Andrag.

Laman rasmi KDA FC turut melaporkan pengendali Aidil Sharin Sahak kekal membimbing skuad Hijau Kuning untuk musim depan dan disertai beberapa pemain yang dikekalkan.

Antara pemain dikekalkan ialah Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Shahril Sa’ari, Faizat Ghazli, Zulkhairi Zulkepli, Azammuddin Akil, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman.

Sementara itu difahamkan nama pemain-pemain import lain pula dijangka akan diumumkan kemudian.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/12/767407/kedah-umum-senarai-pemain