Ditawar Akademi Bola Sepak Terkemuka

KUALA LUMPUR: Meskipun namanya tidak sebesar tonggak Safawi Rasid atau Luqman Hakim Shamsuddin, namun ‘ubi muda’ negara Allee Putra Azril Zawawi tetap menyerlah di Sepanyol.

Allee Putra, 15, sering mendapat tempat dalam kesebelasan utama akademi bola sepak FC Malaga City dengan beraksi bersama skuad bawah 17 tahun.

Dia turut mendapat gelaran Allee Sanchez dan sering disenaraikan oleh jurulatih untuk mewakili pasukan dalam sai­ngan peringkat tempatan dan pertandingan kompetitif.

Bekas pemain Piala Pre­siden Kelantan, Azril Zawawi iaitu bapa kepada Allee berkata, barisan kejurulatihan akademi berpuas hati dengan pres­tasi Allee yang semakin me­ningkat sejak menjalani latihan hujung Ogos lalu.

“Allee kini antara pemain utama pasukan akademi walaupun usianya baru 15 tahun.

“Dia dapat memberi saingan kepada pemain yang lebih tua daripadanya.

“Ketika ini, Allee menjalani latihan se­perti biasa dan sudah boleh mengikuti setiap modul yang diterapkan akademi, selain perlu bersaing de­ngan pemain lain.

“Pada perlawanan sebelum ini, Allee mengalami kecede­raan buku lali namun diharapkan tidaklah serius dan boleh menjejaskan prestasinya nanti,” katanya.

Sebelum ini, Allee Putra ditawar bermain di akademi bola sepak terkemuka Sepanyol, FC Malaga City selama dua tahun namun berdepan masalah kewangan untuk pergi ke sana.

Bagaimanapun, dia telah mendapat sokongan Per­satuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA)

Selain itu, firma arkitek terkemuka R2 Architect Sdn. Bhd. muncul sebagai ‘tulang belakang’ menyokong perjalanan Allee ke Sepanyol apabila membantu pemain muda itu daripada segi pembiayaan.

Difahamkan, kos perbelanjaan untuk menyertai akademi itu sekitar RM78,000 termasuk makan, tempat tinggal, pengangkutan ke pusat latihan, kit pasukan, panduan nutrisi, video perlawanan dan analisis pemain.

Sumber : https://www.utusan.com.my/sukan/2020/10/allee-putra-makin-serasi-menyerlah-di-sepanyol/