DNA Jerman?

Kuala Lumpur: Penyerang Selangor, Sean Selvaraj mengakui teruja dan tidak sabar untuk menuntut ilmu baharu daripada pengendali pasukan, Karsten Neitzel yang dilantik membimbing Red Giants musim depan.

Jelasnya, DNA Jerman yang bakal diterapkan oleh Neitzel diharapkan mampu meningkatkan persembahan pasukan dalam saingan Liga Super nanti.

Ujarnya lagi, dia memandang tinggi pengalaman yang dimiliki oleh pengendali dari Jerman itu.

“Pertama kali berjumpa, beliau (Neitzel) sangat ramah dan jujur dengan kata-katanya.

“Beliau juga mempunyai banyak pengalaman di pentas Eropah dan Asia, jadi saya berharap dapat belajar banyak darinya dan memperbaiki dalam apa jua aspek,” kata Sean.

Menurutnya, pendekatan bola sepak ala Jerman yang terbukti antara terhebat di dunia bakal memantapkan jentera serangan pasukan dengan menekankan aspek permainan secara berpasukan.

“Saya harap dapat berikan apa yang jurulatih perlukan untuk pasukan, terutamanya dalam bahagian aspek serangan, selain membantu jentera pertahanan dengan baik,” katanya.

Sean yang sudah bersama Selangor sejak musim 2018 merekodkan 53 penampilan bersama bekas juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu.

Dia juga dipilih sebagai pemain terbaik dalam salah satu perlawanan Liga Super musim ini selepas menjaringkan dua gol dan mencipta tiga ‘assists’ dalam kemenangan besar 7-0 menentang PDRM FA.

Neitzel sebelum ini diumumkan sebagai pengendali baharu Selangor bagi menggantikan tempat B Sathianathan yang dipecat ekoran aksi longlai dalam saingan Liga Super musim ini.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2020/11/644053/sean-tidak-sabar-menuntut-ilmu-jerman