Dokumentari khas bongkar kisah kejayaan

KISAH kejayaan yang diraih juara enam kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) di pentas bola sepak domestik mahupun Asia Tenggara sejak beberapa musim lalu bakal ditayangkan menerusi dokumentari khas – FEARLESS: Rise of the Johor Southern Tigers tidak lama lagi.

Siri dokumentari lima bahagian yang amat dinanti-nantikan itu bakal memaparkan kisah mengenai penghasilan infrastruktur berkelas dunia yang dimiliki JDT FC selain pencapaian mereka dalam membantu membentuk komuniti, masyarakat, negeri dan negara.

Memaparkan kisah yang lebih dekat di belakang tabir, FEARLESS: Rise of the Johor Southern Tigers turut membawa penonton kepada perjalanan epik yang menyaksikan kejayaan yang diraih JDT FC selain menumpukan kepada kisah-kisah penting mengenai kelab yang antara paling dikagumi di rantau Asia.

“Sesetengah pihak memandang rendah impian kami tetapi dalam siri eksklusif di sebalik tabir ini menunjukkan projek bola sepak di Johor – Johor Darul Ta’zim FC – tentang bagaimana ia terbentuk dan menjadi kuasa besar yang perlu diberi perhatian.

“FEARLESS menampilkan rakaman yang belum pernah dilihat mengenai bagaimana Harimau Selatan menjadi sebuah empayar, perjuangan yang ditempuhi juga kejayaan serta bagaimana kelab ini diuruskan di belakang tatapan umum dan iltizam kami yang ingin mencapai kejayaan, sama ada dalam mahupun luar padang,” titah Tunku Mahkota Johor yang juga pemilik JDT FC, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dirakamkan pada musim 2019/20, FEARLESS: Rise of the Johor Southern Tigers memaparkan bagaimana kelab yang mempunyai cita-cita besar itu membina legasi, politik dalam dunia bola sepak serta cabaran yang dihadapi pemain-pemain sama ada dalam atau luar padang menerusi perspektif daripada beberapa personaliti JDT di samping kumpulan penyokong yang hebat iaitu Boys of Straits.

FEARLESS: Rise of the Johor Southern Tigers diarahkan bersama oleh Leon Tan dan Tony Peitra Arjuna dan diterbitkan oleh Supernova Media yang berpangkalan di Kuala Lumpur serta menampilkan lima episod berdurasi selama 22 minit dengan penceritaan dan sari kata dalam bahasa Inggeris.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/99577/BERITA/Sukan/Dokumentari-khas-bongkar-kisah-kejayaan-JDT © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf