Dua Pemain “Angkat Kaki” akibat tiada gaji

APA sudah jadi dengan Melaka. Saingan liga belum lagi bersambung namun dua tonggak mereka sudah angkat kaki selepas tidak menerima gaji sejak Mac lalu, sekali gus membayangkan pasukan terbabit ketika ini menghadapi krisis semakin meruncing.

Menurut sumber dalaman pasukan, dua pemain terbabit iaitu pemain kacukan Malaysia-Australia, Curran Singh Ferns dan import kelahiran Thailand, Narupon Wild Putsorn sudah meninggalkan pasukan terbabit sejak beberapa bulan lalu akibat tidak menerima gaji.

Beliau berkata, tindakan mereka itu mengejutkan pasukan, sekali gus membayangkan mungkin ada lagi pemain yang akan mengikut jejak langkah meninggalkan pasukan.

“Perubahan pucuk pimpinan Persatuan Bolasepak Melaka (Musa) jelas sekali menyebabkan timbul masalah terutama membabitkan isu gaji sejak Mac lalu.

“Sekarang ini, dua pemain berkenaan sudah ‘angkat kaki’ kerana tidak lagi percaya dengan janji manis pengurusan untuk menyelesaikan gaji tunggakan dengan kadar segera.

“Malah, hutang lain juga setakat ini masih lagi gagal diselesaikan dan perkara terbabit jika dibiarkan mungkin akan menjejaskan momentum Melaka apabila saingan liga bermula nanti,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, Curran Singh Ferns yang beraksi di posisi defensive midfielder dan pertahanan tengah mengikat kontrak bersama Melaka pada November lalu manakala Narupon pula adalah pemain import kelima skuad Hang Tuah.

Musa sebelum ini dikhabarkan mendapat talian hayat ketiga dengan diberikan tempoh hingga Ogos depan melangsaikan hutang itu RM800,000.

Sementara itu, Naib Presiden Musa, Mohd Ashiq Abd Samad ketika dihubungi mengesahkan perkara terbabit dan pihaknya masih lagi dalam perbincangan bersama dua pemain berkenaan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Saya akui sememangnya Melaka menghadapi masalah pembayaran gaji menyebabkan dua pemain terbabit mahu tarik diri daripada bermain dengan skuad Hang Tuah. Namun, segalanya masih lagi dalam perbincangan dan mengharapkan mereka boleh terus beraksi bersama Melaka apabila liga bersambung nanti,” katanya.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/arena/2020/07/596966/tak-sanggup-tunggu-lagi