Gandingan dua pemain ini bakal cetus impak

Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh berharap gandingan penyerang, Abdul Malik Mat Arif dan Manuel Hidalgo akan terus memberi impak menjelang perlawanan Liga Super menentang PJ City FC selepas mereka seri dalam dua aksi terdahulu.

Dollah tidak menolak dua pemain tersebut menjadi nadi utama kepada pasukan untuk memberi kekuatan dalam meledak jaringan sepertimana yang dilakukan dalam aksi berdepan Melaka United FC dan Sabah FC tempoh hari.

Bahkan, beliau percaya gandingan Malik dan Hidalgo akan sekali lagi dapat memberikan sesuatu berdepan PJ City Ahad ini dalam usaha untuk meraih tiga mata selain mengharapkan satu pasukan perlu elak kesilapan pada minit akhir yang boleh membawa kepada kekalahan atau keputusan seri.

Apatah lagi ketika ini, Sri Pahang masih lagi perlu merehatkan pemain tengah, Abu Bakar Yakubu yang berdepan kecederaan buku lali sewaktu berdepan Melaka tempoh hari.

“Kalau nak bercakap pasal prestasi, mereka semakin mantap cuma macam biasa kita sentiasa cuai dan leka pada minit-minit akhir.

“Bahkan, saya berpuas hati dengan apa yang telah ditonjolkan mereka dalam dua perlawanan sebelum ini, cuma kelekaan itu yang membuatkan kita seri.

“Kali ini, saya harap mereka dapat kekalkan prestasi terutamanya gandingan di hadapan iaitu Malik dan Hidalgo kerana kalau kita tengok aksi sebelum ini, pergerakan daripada mereka di depan menghidupkan pasukan.

“Jadi sudah berapa perlawanan mereka bersama, dan saya percaya kedua-dua pemain ini akan dapat beri lebih lagi untuk menewaskan Kuala Lumpur.

“Mengenai Abu Bakar pula, saya ada tanya dia masih sakit atau tidak dan boleh nampak macam dia masih sakit, jadi mungkin kita perlu rehatkan dia lagi, tapi ia tidak la serius sangat”, tambah Dollah Salleh lagi.

Sumber : VocketFC