Saya Sendiri Pun Tak Faham

KUALA LUMPUR: Pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh tampak bingung apabila bekas majikannya, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mengenakan penggantungan dua tahun daripada sebarang aktiviti bola sepak ke atas dirinya.

Sumareh yang kini beraksi di Thailand bersama Police Tero FC turut tidak memahami tindakan yang diambil PBNP sambil mengakui ini kali pertama dia melihat hukuman sedemikian dikenakan ke atas pemain bola sepak profesional.

“Siapa yang mengenakan penggantungan kepada saya? PBNP? Bagaimana mereka boleh menggantung pemain yang membatalkan kontrak dengan mereka. Ini satu perkara yang kelakar.

“Saya sendiri pun tidak faham dengan keputusan ini. Hanya Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ataupun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang boleh menggantung saya mengikut undang undang bola sepak.

“Saya tidak pernah melihat pasukan mengenakan penggantungan kepada pemain mereka. Ini kali pertama saya menyaksikan perkara sebegini,” katanya.

Dalam masa sama, pemain yang diberi julukan ‘Keliboy’ itu mengesahkan dia menerima notis daripada PBNP untuk menjawab pertuduhan yang dikenakan namun dia tidak dapat hadir atas alasan yang munasabah.

“Ya, saya terimanya (notis). Saya memberikannya kepada peguam dan meminta mereka berhubung dengan peguam saya. PBNP tahu saya berada di Thailand tetapi meminta saya hadir untuk mengadakan pertemuan.

“Bagaimana saya mahu hadir kerana saya sudah berada di sini. Mengapa mereka nak berbincang dengan saya kerana apa sahaja urusan, mereka perlu berhubung dengan peguam saya,” katanya.

Kelmarin, Jawatankuasa Tatatertib PBNP mengenakan penggantungan dua tahun daripada sebarang aktiviti bola sepak kepada pemain sayap itu selepas didapati bersalah melanggar terma kontrak dengan persatuan itu.

Pada sesi pendengaran perbicaraan kes Sumareh yang dipengerusikan Rizal Chek Hashim, sebanyak empat pertuduhan dikenakan terhadap Sumareh dengan dia didapati bersalah atas semua pertuduhan itu, namun semua hukuman dijalankan serentak.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/10/747677/keputusan-pbnp-kelakar-keliboy