Gergasi Bola Sepak Malaysia kembali ke landasan

Selangor bukan hanya melepas geram dengan menewaskan Penang FC 4-1, malah keputusan itu juga menamatkan kemarau tanpa kemenangan selepas empat perlawanan dalam saingan Liga Super.

Pada aksi di Stadium Bandaraya, sebentar tadi, skuad Red Giants terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti yang berjaya disempurnakan penyerang sensasinya, Ifedayo Olusegun pada minit ke-15.

Begitupun, skuad Harimau Kumbang bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-40 menerusi tandukan David Rowley hasil sepakan sudut untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Bersambung babak kedua, Danial Asri kembali meletakan Selangor didepan pada minit ke-48 sebelum Sean Selvaraj menggandakan kelebihan menerusi gol ketiga pada minit ke-56.

Tuan rumah sepatutnya mampu mengikat kedudukan apabila diberikan dua sepakan penalti pada minit ke-61 dan minit ke-72 namun tendangan Endrick dos Santos melambung tinggi melepasi palang disusuli sepakan Rafael Vitor diselamatkan penjaga gol pelawat Khairul Azhan Khalid.

Ifedayo melengkapkan malam bergaya buat Red Giants pada minit akhir perlawanan apabila rembatan jarak jauhnya berjaya membuat penjaga gol Penang, Sam Sommerville ‘lemas’.

Kemenangan itu membolehkan Selangor membalas dendam diatas kekalahan 0-2 kepada skuad Harimau Kumbang pada aksi pusingan pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada 20 Mac lalu.

Sumber : UTUSAN