Hadi Terus Diberi Kepercayaan

KUALA LUMPUR: Memiliki potensi untuk bersinar pada masa akan datang adalah faktor utama kelab divisyen kedua Jepun, Fagiano Okayama melanjutkan kontrak penyerang muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Yakult Malaysia dalam satu kenyataan berkata, Hadi memberikan komitmen yang baik sepanjang sesi latihan termasuk semua perlawanan yang melibatkan kelabnya.

Katanya, pemain berusia 20 tahun itu yang menyertai Fagiano pada 2019, sentiasa mempamerkan semangat juang yang tinggi, sekali gus berupaya meningkatkan potensi dirinya.

“Pengurusan Fagiano memaklumkan kepada saya bahawa mereka membuat keputusan untuk menyambung kontrak Hadi bagi tempoh satu tahun lagi selepas melihat peningkatan mutu permainan yang ditunjukkan olehnya sepanjang musim 2020.

“Hadi juga sentiasa berdisiplin dengan baik sepanjang latihan serta bersemangat tinggi.

“Mereka percaya dengan memberikan peluang untuk terus bersama Fagiano akan dapat meningkatkan kemahiran yang ada.

“Ia sekali gus membantu Fagiano untuk terus memberikan aksi yang terbaik di dalam saingan liga pada musim akan datang.

“Akan ada perancangan istimewa untuk Hadi bagi tahun 2021, namun masih lagi dalam perbincangan. Saya akan memaklumkan perkara ini kepada pihak media apabila mendapat kebenaran daripada Fagiano nanti,” kata Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada dalam kenyataan hari ini.

Sumber : https://www.utusan.com.my/sukan/2020/12/fagiano-sayang-hadi-fayyadh/