Azam Tingkat Prestasi Bersama Pasukan Baharu

Kuala Lumpur: Selepas kali terakhir menyarung jersi skuad Harimau Malaya pada September tahun lalu, pemain sayap baharu Kuala Lumpur, Hadin Azman berazam untuk mengetuk kembali pintu pasukan kebangsaan tahun depan.

Hadin, 26, yang diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 tahun lalu, mahu membuka lembaran baharu dengan membantu skuad The City Boys.

Katanya, pasukan Kuala Lumpur yang akan beraksi di Liga Super musim depan bakal membuka jalan kepadanya untuk kembali mencipta nama bersama skuad negara di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.

“Sudah tentu bermain untuk Malaysia adalah impian saya. Saya dapat peluang (bermain menentang Indonesia) dan saya sudah berikan yang terbaik, dan saya takkan berputus asa.

“Saya lihat Kuala Lumpur adalah destinasi terbaik dan untuk musim depan saya harap dapat dipanggil (skuad negara) lagi,” katanya.

Semalam bekas pemain Kedah dan Felda United itu menandatangani kontrak dua tahun bersama skuad Warga Kota.

Ditanya sasaran peribadinya bersama Kuala Lumpur, dia mahu pastikan pasukan kekal di Liga Super pada musim 2022.

“Dengan visi dan KPI (indeks prestasi utama) mereka, saya berharap dapat bermula dengan secepat mungkin.

“Sasaran utama saya adalah untuk pasukan ini kekal dalam Liga Super. Saya akan mencuba yang terbaik untuk mendapatkan sentuhan terbaik saya dan berharap Kuala Lumpur dapat pergi sejauh mungkin,” katanya.

Sumber: HM