Hajat Azraai Khor

Azraai Khor Abdullah berminat untuk membantu pasukan Kedah mengetengahkan bakat akar umbi, sama seperti apa yang dilakukannya pada 2007 dan 2008.

Beliau yang memulakan karier jurulatih bersama skuad Piala Presiden Kedah pada 1991, banyak membantu menghasilkan pemain-pemain muda berkualiti. Ini termasuk membantu Robert Alberts selaku jurulatih pasukan senior ketika itu memilih pemain akar umbi Kedah seperti Radhi Mat Din dan Ahmad Sabri Ismail.

Hasilnya, Kedah memenangi liga dan Piala Malaysia pada 1993, malah mencatatkan rekod tanpa kalah. Apabila Azraai dilantik sebagai ketua jurulatih Kedah pada 2004, beliau menerapkan DNA yang sama, mengetengahkan bakat akar umbi dalam kesebelasan utama pasukan.

Ketika itu, lahirlah pemain seperti Helmi Eliza Elias, Victor Andrag, Khairul Helmi Johari, Khyril Muhymeen dan Baddrol Bakhtiar. Ia mungkin mengambil masa, tetapi pembangunan akar umbi akhirnya membuahkan hasil apabila Kedah meraih treble dua kali berturut-turut pada 2007 dan 2008.

Justeru, Azraai berharap dapat terus menabur bakti untuk bolasepak Kedah. “Saya memang sudah berhajat nak buat pembangunan untuk bola sepak Kedah seperti era double treble dahulu, di mana kita dapat melihat pemain-pemain muda berjaya diketengahkan ke pasukan senior dan seterusnya skuad kebangsaan,” katanya kepada BH Sukan.

“Ini adalah masa yang sesuai untuk kembalikan DNA bolasepak Kedah melalui program akar umbi yang dapat mengetengahkan bakat pemain-pemain muda yang kini semakin berkembang.”

Sumber : football-tribe