Hanya Kenangan

KUALA LUMPUR: Meskipun tewas 1-2 kepada Pahang di pentas Liga Super September lalu, namun keputusan itu tidak memberi sebarang makna buat kapten Kedah Baddrol Bakhtiar dan rakan sepasukannya.

Kata Baddrol, pertemuan malam ini di Stadium Darul Aman merupakan pentas yang berbeza buat kedua-dua pasukan dan mengakui pertembungan tersebut ibarat mengimbau memori separuh akhir Piala Malaysia musim lalu.

Pertemuan itu dicatat sebagai antara persaingan paling sengit dalam sejarah pertandingan itu apabila mereka terikat 8-8 secara agregat namun Kedah layak berdasarkan jaringan di laman lawan.

“Kekalahan tempoh hari dalam Liga Super bagi saya ibarat satu pengajaran berguna kepada Kedah kerana kami terlepas peluang bagi merapatkan jurang dengan pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Jadi, semua pemain harus mengambil iktibar terhadap apa yang terjadi serta memperbaiki segala kekurangan agar tidak terjadi sekali lagi kerana kami wajib menang dalam perlawanan ini.

“Tiada tekanan sebenarnya kepada Kedah dan harapan saya agar pasukan dapat mengekalkan momentum se­perti aksi kami sebelum ini, walaupun berdepan Pahang akan mengimbau kembali aksi di separuh akhir musim lepas.

“Satu lagi harapan saya, tiada mana-mana pemain mengalami sebarang kecederaan dan sempat pulih sebelum turun dengan Pahang kerana kami memerlukan semua pemain terbaik yang dimiliki pasukan,” katanya.

Kedah yang merupakan finalis musim lalu berdepan laluan sukar jika mahu mengulangi pencapaian sama kerana bakal berdepan juara 33 kali, Selangor atau Melaka jika layak ke suku akhir manakala sama ada Terengganu FC,

Perak, PJ City dan Kelantan United menjadi lawan skuad Lang Merah di pe­ringkat empat pasukan terakhir.

Dalam pada itu, Baddrol mendedahkan pasukan musim ini ternyata lebih baik dan konsisten jika hendak dibandingkan dengan musim lalu biarpun terpaksa melalui pelbagai masalah di pertengahan musim akibat pandemik Covid-19.

Kehadiran Tchetche Kipre dan Kpah Sherman bersama skuad Lang Merah musim ini juga menajamkan lagi jentera serangan Kedah apabila gandingan itu telah meledakan 13 gol daripada 20 gol yang direkodkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak.

Sumber : https://www.utusan.com.my/sukan/2020/11/rekod-lalu-hanya-kenangan/