Hanya Sementara

Kuala Lumpur: “Terdapat dua jenis manusia dalam industri bola sepak, mahu berjaya atau menjadi terkenal. Ia bukan perkara yang teruk, namun politik boleh meruntuhkan bola sepak negara.”

Demikian pandangan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menegaskan bola sepak negara tidak akan memiliki masa depan jika ia masih lagi dipimpin oleh ahli politik.

Katanya, industri bola sepak boleh terjejas kerana segelintir orang politik hanya mahukan publisiti untuk kepentingan peribadi.

Malah, kedudukan mereka dalam sistem bola sepak hanyalah bersifat sementara dan kebanyakan mereka tidak memahami mengenai bola sepak.

“Ahli politik memiliki tugas yang tersendiri, jadi mereka tidak boleh menguruskan bola sepak yang ada menguruskan pasukan sekalipun, mereka tidak memiliki kesan untuk jangka masa panjang kerana mereka adalah ahli politik.

“Keutamaan harus diletakkan kepada pasukan dan kelab. Jika tidak mengetahui cara untuk mengendalikan pasukan, lebih baik tugas itu diberikan kepada mereka yang selayaknya…yang boleh bertugas sepenuh masa untuk bola sepak.

“Di Johor, saya memiliki pasukan pengurusan yang hadir daripada sukan bola sepak, Pengarah Teknikal dan Pengarah Sukan JDT adalah bekas pemain dan mereka amat mengenali situasi yang perlu dilalui dalam bola sepak.

“Jadi kepada ahli-ahli politik yang terlibat, saya berasakan lebih baik mereka mengutamakan tugas kepada rakyat dan negeri dan memberikan bola sepak kepada pihak yang arif dalam perkara ini,” katanya ketika ditemubual oleh stesen televisyen swasta tempatan semalam.

Ketika ini, beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dilihat masih diuruskan oleh ahli politik yang juga Menteri Besar di negeri masing-masing, contohnya Kedah, Melaka, Perak dan lain-lain.

Jelas Tunku Ismail lagi, pengurusan kewangan yang betul juga adalah resepi sebenar kejayaan sesebuah pasukan.

“Bagi saya, pengurusan kewangan amat penting dan tidak semestinya dengan adanya boleh digunakan sesuka hati sahaja,” katanya.

Sumber-https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2020/12/654590/orang-politik-hanya-mahu-publisiti