“Harap Semuanya Berjalan Baik”

KEKALAHAN memalukan 0-7 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak boleh diterima pengurusan pasukan Perak apabila difahamkan skuad The Bos Gaurus itu akan membawa masuk jurulatih baharu.

Bukan bermaksud menuding jari sepenuhnya di bahu Mehmet Durakovic di atas kekalahan besar di Stadium Sultan Ibrahim itu, namun sudah tiba masanya Perak disuntik taktikal baharu menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menurut sumber, antara calon utama yang dikaitkan perpindahan ke Perak adalah jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak.

“Minggu ini wakil Aidil akan ke Ipoh bagi membincangkan tawaran kontrak. Tapi ia belum muktamad lagi. Masih terlalu awal (menyertai Perak) namun minat yang ditunjukkan Perak untuk mengikat Aidil cukup tinggi. Harap semuanya berjalan baik,” kata sumber kepada Arena Metro, hari ini.

Sepanjang tiga musim Mehmet di melatih Perak, jurulatih kelahiran Australia itu berjaya membawa impak berkesan apabila berjaya menghadiahkan Piala Malaysia pada 2018.

Selain itu, bekas jurulatih Selangor itu hampir memenangi Piala FA dan Piala Sumbangsih musim lalu dengan muncul naib juara.

Rekod Aidil sebagai jurulatih juga cukup hebat apabila merangkul kejuaraan Piala FA musim lalu.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/arena/2020/09/618180/aidil-sharin-ganti-mehmet