Harapan Solskjaer

LEICESTER, United Kingdom: Ole Gunnar Solskjaer percaya Manchester United mesti menjadi “lebih kuat, cergas dan lebih mantap” untuk cabaran Liga Juara-Juara musim depan selepas menewaskan Leicester 2-0 bagi memastikan tempat ketiga Liga Perdana awal pagi tadi.

United hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan tempat ke kelompok empat teratas di King Power dan melakukan dengan baik ketika banyak dipertaruhkan kedua-dua kelab.

Penalti Bruno Fernandes 19 minit sebelum tamat melegakan kebimbangan Solskjaer sebelum Jesse Lingard memgambil kesempatan kesilapan Kasper Schmeichel pada penamat saingan bagi menamatkan musim sukarnya dengan gol liga pertama kempen kali ini.

United ketinggalan 14 mata di belakang Leicester ketika Fernandes tiba dari Sporting Lisbon pada Januari dan pemain antarabangsa Portugal itu menjadi tonggak utama menukar nasib Red Devils.

“Dari tempat kami berada awal musim ini, untuk menamatkan saingan di tempat ketiga, ia sangat menakjubkan,” kata Solskjaer. “Kami melalui tempoh turun naik dan ia berlarutan hingga perlawanan terakhir, pencapaian menakjubkan.”

Kekayaan bermain di Liga Juara-Juara lebih penting buat United berikutan kelembapan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Dan masih ada petanda untuk pembinaan semula pasukan buat Solskjaer jika mereka mahu mengurangkan jurang dengan Liverpool and Manchester City musim depan.

“Ada kejohanan mini selepas permulaan semula dan ia menunjukkan kesan. Kami sedikit keletihan, lesu, semua orang boleh melihat kami tidak sama seperti sebelumnya tetapi kami perlu melakukannya dengan mengutip seberapa banyak mata dan gol, dan mereka melakukannya,” kata Solskjaer.

“Bagi pasukan ini, ia bermakna lebih banyak lawan handal musim depan dan perlawanan besar, kami perlu meningkat.

“Tahun ini kami ada Liga Europa dan peluang merehatkan pemain, kini kami perlu beraksi lebih baik untuk setiap perlawanan. Kami perlu lebih cergas, kuat dan lebih mantap.” – AFP