IKLIM kini ada penyanyi baru

KUALA LUMPUR: Hampir dua dekad hilang dari radar dunia seni, kumpulan Iklim kembali bersatu apabila menghasilkan single Mawar Kasturi, penghujung tahun lalu.

Enggan menoleh ke belakang dan mahu memadamkan peristiwa silam yang pernah berlaku, Iklim kini tampil dengan semangat serta jenama baharu iaitu Iklim 2020.

Masih mengekalkan anggota lama, Mohalim selaku pemain basis, Umarul (gitar), Kama (dram) dan Huzali (Keybord), kumpulan yang mengecap populariti menerusi lagu Suci Dalam Debu itu mengetengahkan penyanyi yang pernah popular dengan lagu Sebenar Cinta, Azmani sebagai vokalis.

Kehadiran penyanyi berkulit hitam manis itu bukanlah asing buat kumpulan yang berasal dari Pantai Timur itu. Azmani pernah menjadi penyanyi gantian sekitar 1994. Bagaimanapun, disebabkan Azmani masih terikat dengan kontrak, hasrat untuk terus kekal bersama Iklim tidak mampu dilaksanakan.

Mengulas perkara itu, Azmani yang pernah bergelar penyanyi kumpulan Kulit menyifatkan, kesudiannya untuk bersama Iklim sebagai membayar ‘hutang’ lama.

“Jujurnya, saya dan Iklim bukanlah asing. Saya pernah bersama mereka dan sempat menjayakan beberapa persembahan kira-kira 27 tahun lalu.

“Bagaimanapun, niat untuk terus kekal sebagai penyanyi utama terbantut apabila masih mempunyai kontrak dengan syarikat rakaman dan saya diminta menjadi vokalis kumpulan Kulit.

“Justeru, saya ditawarkan sekali lagi oleh Mohalim untuk menjadi vokalis Iklim, saya terima dengan senang hati. Kiranya, hutang saya dengan Iklim sudah terbayar,” cerita Azmani yang hadir bersama Iklim ke Balai Berita untuk mempromosikan single Mawar Kasturi, baru-baru ini.

Menerima tawaran Iklim bermakna Azmani perlu berdepan dengan pelbagai reaksi peminat kumpulan legenda itu, termasuk kecaman kerana pasti ada yang membandingkannya dengan bekas vokalis Iklim, Allahyarham Saleem.

“Bohonglah, jika saya kata tak ambil peduli dengan komen yang akan membandingkan saya dan Allahyarham Saleem. Apa yang boleh dikatakan, kami ada cara dan gaya nyanyian tersendiri dan tak mungkin sama.

“Saya dan Iklim sudah serasi, kebanyakan lagunya saya hafal. Malah, saya ada bersama mereka menyaksikan momen Iklim merakamkan album sulung.

“Setakat ini, rata-rata peminat tegar Iklim boleh menerima kehadiran dan memberi sepenuh sokongan apabila saya membaca komen dalam laman sosial,” ujarnya yang sudah 18 tahun tidak menyanyi kerana fokus pada bengkel kenderaan yang diusahakannya di kampung halaman di Kelantan.

Apabila membuat keputusan kembali ke dunia nyanyian, Azmani atau nama sebenarnya, Mohd Azmani Mohd Isa itu berkata, usahanya itu bukanlah sekadar melepaskan batuk di tangga.

“Apabila lama tidak menyanyi, suara saya pun ‘berkarat’. Saya kena asah vokal dengan membuat banyak latihan. Tak dinafikan, banyak perkara baharu yang perlu dipelajari terutama dari segi promosi dan publisiti yang sangat berbeza pada zaman saya menceburkan diri dalam dunia nyanyian,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas pemilihan Azmani sebagai vokalis, Mohalim menyifatkan ia adalah pilihan yang tepat kerana penyanyi itu mempunyai vokal yang sesuai dengan lagu-lagu Iklim.

“Saya dapat rasakan jiwa Azmani ada bersama Iklim. Malah, suaranya juga saling tak tumpah dengan suara arwah Saleem. Pernah berlaku, saya mendengar suaranya tanpa melihat dirinya, saya berasakan seperti berbual dengan arwah. Boleh dikatakan, Azmani seperti kembar arwah Saleem.

“Malah, Azmani adalah orang pertama yang terlintas dalam fikiran apabila kami mula memutuskan untuk kembali aktif dan mahu menghasilkan single,” katanya kepada BH Online.

Mengenai single Mawar Kasturi yang dihasilkan bersama Umarul dan seorang kenalan rapat, Mohalim berkata, lagu itu membawa pelbagai pengertian dan terpulang pada pendengar untuk menafsirkan.

“Proses pembikinan single ini bermula dengan menulis lirik terlebih dahulu, sebelum melodi dicipta. Single ini ada tiga cabang iaitu cinta, kehidupan dan sang pencipta.

“Lirik lagu ini ditulis oleh kenalan rapat, tetapi saya ubah sedikit untuk disesuaikan dengan patah lagu serta menjadikannya lebih sedap,” kata Mohalim.

Kali terakhir Iklim muncul dengan album studio menerusi album Bunga Emas pada 2009. Sejak ditayangkan di laman YouTube, video muzik Mawar Kasturi merekodkan lebih 600,000 jumlah tontonan sejak November, tahun lalu.

Sumber : BH