Ini Berita Baik Untuk Kaki Bola, Kaki Futsal

Kementerian Belia dan Sukan akan memohon semua pasukan Liga Malaysia mengadakan latihan secara bersentuhan secara rasmi pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 9 Julai ini.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selaku Menteri Belia dan Sukan berkata permohonan itu dibuat selepas menilai perkembangan terkini COVID-19 di negara ini.

Ini juga selepas kerajaan memberi kebenaran kepada orang awam untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak ada sentuhan badan bermula 15 Jun dan bebas melakukan aktiviti di fasiliti tertutup dan terbuka, gimnasium, dewan tertutup seperti dewan badminton, kompleks sukan pelbagai, pusat snuker, dan pusat-pusat sukan yang lain

Malah, kebenaran turut diberikan untuk sukan berpasukan seperti bola sepak memulakan sesi latihan tanpa sentuhan badan dengan mematuhi jarakkan sosial sejauh hingga lima meter semasa latihan.

“Oleh itu, KBS akan mengemukakan cadangan agar kerajaan membenarkan latihan penuh secara berkontak bagi acara-acara sukan berpasukan seperti bola sepak dan ia akan memperlihatkan juga harapan dan kemungkinan untuk saingan Liga Malaysia dan kejohanan-kejohanan sukan yang lain dapat dimulakan dalam masa yang terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Reezal Merican juga akan mengadakan sesi pertemuan bersama penggiat industri sukan dari semasa ke semasa.

“KBS juga akan mengadakan satu sesi libat urus bersama pengusaha-pengusaha padang dan gelanggang komersil serta akademi untuk sukan bola sepak dan futsal dalam masa yang terdekat.”

Sumber : https://football-tribe.com/malaysia/2020/07/02/kbs-bakal-mohon-kebenaran-latihan-fasa-2-minggu-depan/