Ini Faktor Kekalahan Pasukan

Kuala Terengganu: Jurulatih Petaling Jaya (PJ) City FC, K Devan meluahkan rasa kecewa selepas pasukannya gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia walaupun beraksi dengan baik sepanjang 90 minit perlawanan.

Beliau berkata, keadaan padang basah kerana hujan sedikit sebanyak mengganggu corak permainan anak buahnya sebelum tewas tipis 0-1 kepada Terengganu FC (TFC) pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Katanya, kesilapan individu turut menjadi punca pasukannya tewas walaupun pasukan lawan begitu sukar menembusi benteng pertahanan selain penguasaan pada babak kedua menjadi milik skuad The Phoenix itu.

“Kesilapan individu menyebabkan kita menanggung kekalahan pada malam ini (malam tadi), walaupun lawan tidak banyak peluang, tapi saya tidak menyalahkan pemain kerana mereka sudah beraksi dengan baik, hanya satu kesilapan sahaja.

“Memang kita hadir untuk membuat kejutan dan kita tahu corak permainan Terengganu kerana pernah bertemu dalam saingan Liga Super ketika itu kita lebih baik berbanding pasukan itu.

“Tapi akhir saya kecewa dengan keputusan pada hari ini (malam tadi) sekali gus gagal bersaing dalam saingan suku akhir Piala Malaysia apatah lagi jika kita lihat babak kedua, sebahagian besar permainan dikuasai PJ City sehingga kita berjaya membuka peluang untuk menghasilkan jaringan tapi pemain gagal melakukannya.

“Keadaan padang yang basah kerana hujan antara faktor menyebabkan pemain gagal memperagakan corak permainan yang pantas sebagaimana biasa.

“Begitu juga dengan penyerang kami, Washington Brandao gagal beraksi dengan baik kerana keadaan padang itu sekali gus mengganggu corak permainannya selain pertahanan Terengganu yang memberi tumpuan kepada Brandao setiap kali pemain itu dapat bola yang menyebabkan dia tidak dapat beraksi seperti biasa.

“Bagaimanapun secara keseluruhan corak permainan 50-50, siapa yang membuat kesilapan akan tersingkir, tapi jika ada masa tambahan saya berkeyakinan pasukan kami bertambah baik dan layak ke suku akhir kerana kita tahu keadaan fizikal pemain,” katanya yang mengakui pemainnya sudah memberikan sumbangan terbaik dan mampu menyaingi lawan cuma nasib tidak menyebelahi pasukannya.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2020/11/639538/devan-kecewa-gagal-ke-suku-akhir