Ini Nasihat Bernas Shebby Kepada Luqman

KUALA LUMPUR: Penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin tidak boleh terlalu merendah diri walaupun bakal berdepan saingan daripada pemain Eropah apabila menyertai KV Kortrijk.

Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh menjelaskan pemain berusia 18 tahun itu perlu menetapkan keyakinan tinggi untuk bersaing dengan pemain dari benua Eropah yang dianggap mempunyai kualiti lebih baik.

Mengakui Luqman membuat pilihan tepat untuk berhijrah ke luar negara, Serbegeth atau lebih dikenali sebagai Shebby berkata anak jati Kota Bharu, itu seharusnya memberi fokus terhadap matlamatnya menjadi pemain profesional berjaya.

“Bagi saya kalau ada peluang, kita harus ambil peluang itu. Apabila sampai di sana fokus kita hanya pada bola sepak. Di Belgium nanti, segala-galanya adalah baharu, anggap ia sebagai cabaran dan saya harap Luqman akan berjaya.

“Dia memang ada bakat, cuma fokus, itu paling penting. Saya baca akhbar kata ada kelab dari England yang berminat, itu semua pedulikan, jangan hilang fokus.

“Ini satu permulaan, bukan pencapaian. Dia dekat sana ada matlamat dan jangan sekali-kali fikir kita ini ada kekurangan, tidak kira kita dari Malaysia atau dari mana, keyakinan diri itu penting,” katanya kepada BH Sukan.

Kelmarin, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menerusi satu kenyataan mengesahkan Luqman akan berhijrah ke kelab Belgium itu.

Malah, akhbar ini, semalam melaporkan Luqman mengharapkan doa daripada seluruh penyokong untuk dia mencapai kejayaan bersama Kortrijk.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/07/707827/nasihat-shebby-kepada-luqman-hakim