Ini Syarat Sebelum Perpindahan Luqman

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan bahawa Luqman Hakim Shamsudin tidak akan berdepan masalah untuk berhijrah ke kelab Belgium, KV Kortrijk.

Beliau berkata, pemain berusia 18 tahun itu hanya perlu menyelesaikan segala dokumen berkaitan perpindahannya dari Selangor ke KV Kortrijk.

Malah, pelepasan itu juga boleh diberikan dengan alasan bahawa Luqman perlu memenuhi kontraknya serta kemungkinan Liga Belgium yang akan bermula tidak lama lagi.

“Jika Luqman harus terbang ke Belgium dalam memenuhi kontrak lima tahunnya tau jika sah Liga Belgium musim baharu akan bermula contohnya akhir Ogos atau September depan, pihak pemilik kelab sendiri boleh memohon kepada KKM untuk mendapatkan pelepasan khas,” katanya kepada Sinar Harian.

“KKM boleh memberi kebenaran dalam situasi Luqman ini tetapi dia harus melengkapkan semua dokumen dalam proses perpindahan dari Selangor ke Belgium itu. Insya-Allah tiada masalah buat Luqman untuk ke sana nanti.”

Pada masa sama, Ismail berharap pelepasan itu akan memberi peluang kepada Luqman untuk mengembangkan kariernya ke satu tahap yang lebih baik.

“Saya berbangga dengan kejayaan Luqman yang berhijrah ke KV Kortrijk dan mengucapkan selamat maju jaya kepadanya. Semoga dia dapat mengharumkan nama Malaysia nanti.”

Sumber : https://football-tribe.com/malaysia/2020/07/06/ismail-sabri-kv-kortrijk-luqman-hakim-boleh-dapatkan-pelepasan-khas-dari-kkm/