Irfan Bakti Akhirnya Kembali

KUALA LUMPUR: Selepas lebih setahun setengah ‘berehat’, jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim kembali dalam arena kejurulatihan apabila dilantik sebagai jurulatih baharu Kuching City FC yang beraksi dalam Liga Perdana.

Pengerusi Kuching City FC, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, Irfan akan menggantikan Akira Higashiyama yang menolak tawaran untuk melanjutkan kontrak dan pihaknya berbangga dapat mengikat jurulatih yang berpengalaman luas seperti Irfan.

“Irfan meraih banyak kejayaan dan kami yakin beliau boleh membawa kelebihan dan meningkatkan lagi mutu Kuching City FC. Kita sudah berbincang dan menerangkan mengenai pasukan serta sasaran kami untuk musim depan.

“Beliau bersetuju dan yakin dengan pembangunan, hala tuju dan juga sasaran yang diletakkan,” katanya.

Dalam masa sama, Fazzrudin menjelaskan pihaknya sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi mutu jurulatih mereka dan memastikan mereka layak untuk mendapatkan lesen A dan B.

“Ini bagi membolehkan mereka terbabit secara langsung dengan pasukan dan budaya serta falsafah yang sama seperti pasukan senior. Oleh itu, kami sedang dalam usaha membawa Wan Jamak Wan Hassan sebagai Pengarah Teknikal Kuching City FC.

“Dengan pengalaman dan kepakaran beliau, kita yakin boleh membangunkan sukan bolasepak bukan sahaja untuk Kuching City FC tetapi untuk Sarawak secara amnya. Beliau adalah antara tenaga pengajar yang bertauliah untuk mengadakan kursus Jurulatih C, B dan A.

“Dengan kerjasama bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kita boleh merancang untuk mengadakan kursus terbabit di Sarawak dan mudah bagi jurulatih kita untuk menyertainya,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/12/760396/irfan-jurulatih-kuching-city-fc