Jangan Lepas Tangan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengarahkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) melunaskan tunggakan gaji yang dituntut oleh 11 pemain berjumlah RM187,778.92.

Bagi kes pertama, KAFA diminta menjelaskan tunggakan gaji Muhammad Fauzi Rozlan berjumlah RM63,628.18 dan kes kedua membabitkan tuntutan daripada Muhammad Zulfahmi Awang sebanyak RM50,000.

KAFA turut diarahkan membayar tunggakan gaji Muhammad Afiq Azuan berjumlah RM32,141.99, Wan Mohammed Afiq Wan Mohamed Kasbi (RM21,000), Mohamad Azzrie Aripin (RM4,075) dan Muhammad Syafiq Syahmi Husin (RM3,877).

Selain itu, Muhammad Fahmi Izzuddin Ab Rahman (RM2,681), Ahmad Fathi Irfan Azlan (RM3,279), Muhammad Fikri Hakim Kama (RM1,289.50), Ahmad Hamzalah Zulkiflee (RM2,681) dan Mohamad Fazliera Ezlan Mohd Rosli (RM3,126.25).

Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd Joehari Ayub menjelaskan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat kali ke-15 bagi penggal 2017-2021 pada 7 Januari lalu.

Katanya, tuntutan daripada semua pemain itu diterima sepenuhnya jawatankuasa terbabit dan KAFA diminta melunaskannya.

Dalam perkembangan sama, FAM turut mengarahkan Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) menyelesaikan tunggakan gaji pemainnya, Curran Lawrance Singh Ferns berjumlah RM97,500.

Joehari menjelaskan tuntutan Ferns diterima sebahagiannya dan MUSA perlu menjelaskan jumlah tunggakan itu.

Sumber : BH